Kerajaan miliki kementerian berpotensi jana hasil, Zuraida beritahu Anwar


Bekas menteri Zuraida Kamaruddin berharap kerajaan baharu dapat melihat potensi KPPK untuk menjana hasil negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2022.

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mempunyai begitu banyak potensi untuk bergerak kendiri atau kementerian penjana hasil untuk negara, kata bekas menterinya Zuraida Kamaruddin hari ini.

Bekas ahli Parlimen Ampang itu berkata kerajaan baharu yang diketuai oleh bekas bosnya Anwar Ibrahim mesti memberi perhatian sewajarnya kepada usaha memperluaskan pasaran, memastikan kebolehpasaran produk dan perkhidmatan, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penggunaan inovasi dan teknologi.

“Kementerian boleh pada masa hadapan, mengusahakan penyatuan ladang-ladang sawit dan estetestet getah di bawah satu bumbung untuk membolehkan pelaksanaan satu sistem pengurusan yang berkesan dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah di bawah pengawasannya, kementerian mendorong kempen “Gerakan Global Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit” yang membuahkan hasil sebagai platform antarabangsa untuk mencetus kesedaran tentang kualiti tinggi minyak sawit Malaysia.

Kempen itu juga menangani pelbagai maklumat salah dan palsu yang dilemparkan kepada minyak sawit tempatan.

Zuraida turut mencadangkan program subsidi minyak masak diperkemas di bawah satu agensi tunggal di bawah kementerian dan bukannya amalan semasa yang meletakkan ia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Langkah ini pada pandangan saya, akan dapat mengelakkan pertindihan dan kekeliruan mengenai pihak berkuasa mana yang harus mempunyai kata pemutus berkaitan isu harga atau mekanisme kawalan harga bagi produk minyak masak di pasaran Malaysia.

“Cadangan ini juga mengambil kira beban tugas KPDNHEP yang memang sedia ada sudah dibebankan dengan begitu banyak isu-isu kepenggunaan dan perdagangan dalam negara yang membabitkan keseluruhan produk, bukan minyak masak semata-mata.”

Beliau juga mencadangkan menteri akan datang bagi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi meneliti ambang produk komoditi yang berpotensi.

“Sebab mengapa saya kemukakan idea ini adalah semata-mata kerana pengembangan kepada pelbagai komoditi yang menguntungkan seperti nanas, kelapa dan durian – semuanya mempunyai potensi eksport jika diuruskan dengan betul, mewajarkan peranan kementerian sebagai kementerian komoditi yang menjana pendapatan.

“Selain daripada fokus utama KPPK dalam memastikan pengeluaran dan pemasaran hasil-hasil utama seperti minyak sawit, kayu kayan, koko, lada dan gentian serat.

“Dalam hal menguruskan komoditi baharu berpotensi seperti nanas, kelapa dan durian atau lain-lain hasil ladang yang dikeluarkan di kawasan luar bandar, peranan itu mungkin boleh dipindahkan kepada KPPK daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang sebaliknya boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesejahteraan kehidupan masyarakat, ” katanya.

Zuraida adalah menteri industri perladangan dan komoditi untuk tempoh 14 bulan, bermulaa Ogos 2021 hingga Oktober 2022.

Anwar yang dilantik sebagai perdana menteri pada Khamis, akan mengumumkan kabinet baharunya awal minggu ini. Ia dijangka menjadi Kabinet lebih kecil berbanding pentadbiran terdahulu. – 27 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen