Junta Myanmar bubar parti Suu Kyi


Kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan selepas partinya NLD menang pilihan raya pada November 2020, sekali gus menyebabkan Myanmar bergolak. – Gambar AFP, 29 Mac 2023.

SURUHANJAYA pilihan raya junta Myanmar semalam umum parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi akan dibubarkan kerana gagal mendaftar semula di bawah undang-undang pilihan raya yang digubal tentera, lapor media kerajaan.

NLD, yang menewaskan parti yang disokong tentera dalam pilihan raya 2015 dan 2020, akan “dibatalkan secara automatik sebagai parti politik” mulai hari ini, menurut penyiar MRTV.

Junta mewajarkan rampasan kuasa pada Februari 2021 dengan mendakwa berlaku penipuan secara meluas dalam pilihan raya 2020. Rampasan kuasa itu menamatkan percubaan demokrasi selama 10 tahun, sekali gus menyebabkan Myanmar bergolak.

Pada Januari lalu, parti-parti politik diberi tempoh dua bulan untuk mendaftar semula di bawah undang-undang pilihan raya baharu ketat yang digubal tentera menjelang pemilihan baharu yang dijanji akan diadakan.

Penentang tentera berkata pilihan raya itu tidak akan bebas mahupun adil.

Bulan lalu, tentera Myanmar umum tempoh darurat dua tahun dilanjutkan untuk enam bulan lagi dan menangguhkan pilihan raya yang dijanjikan akan diadakan menjelang Ogos. Tentera memberi alasan keamanan masih belum dapat dikawal bagi pilihan raya diadakan.

Menurut kumpulan pemantau tempatan lebih 3,100 orang terbunuh susulan tindakan keras tentera terhadap perbezaan pendapat sejak rampasan kuasa. – AFP, 29 Mac 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen