Tiada prospek penyelesaian politik di Myanmar, kata duta PBB


Pada 1 Februari tentera Myanmar melanjutkan darurat ke 47 perbandaran selain menggunakan kekerasan dan lain-lain pelanggaran hak asasi manusia yang serius untuk mengekalkan kuasa. – Gambar AFP, 17 Mac, 2023.

UTUSAN Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Myanmar Noeleen Heyzer berkata berdasarkan keadaan semasa, maka dapat disimpulkan tiada penyelesaian bagi rundingan krisis politik di Myanmar.

Heyzer berkata sejak tentera melancarkan rampasan kuasa dua tahun lalu, keganasan terus memuncak di beberapa kawasan etnik di negara itu.

Menurut beliau laporan baru-baru ini turut mendedahkan bahawa 28 orang awam dibunuh oleh tentera di sebuah biara di negeri Shan Selatan.

“Rejim tentera Myanmar menuduh pasukan penentang melakukan keganasan manakala Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) pula menuding jari terhadap tentera.

“NUG juga mengecam pembunuhan oleh Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) memberi amaran kepada kumpulan penentang agar tidak melakukan tindakan tidak berperikemanusiaan.

“Dengan kedua-dua pihak berniat untuk peroleh kemenangan secara paksa, tiada prospek penyelesaian dapat dirundingkan,” katanya dalam sesi taklimat pada Perhimpunan Agung pada Khamis.

Sejak rampasan kuasa pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi, PBB mendedahkan 1.6 juta orang hilang tempat tinggal dan 17.6 juta memerlukan bantuan manakala dianggarkan 55,000 bangunan awam turut musnah.

Sementara itu Heyzer berkata strategi “empat bahagian” yang dilaksanakan oleh rejim tentera Myanmar yang bertujuan menyekat akses kepada makanan, dana, maklumat dan rekrut, merupakan satu hukuman kolektif yang menyaksikan orang awam turut sengsara.

Mengenai Pelan Hala Tuju Lima Perkara tentera - yang sepatutnya dimuktamadkan dengan pilihan raya telah tersasar jauh dari matlamat asal iaitu sebagai jalan keluar daripada krisis, katanya.

Sementara itu Heyzer berkata keadaan keseluruhan di Myanmar dilihat semakin merosot.

“Pada 1 Februari tentera melanjutkan darurat ke 47 perbandaran selain menggunakan kekerasan termasuk pengeboman udara, pembakaran rumah orang awam dan lain-lain pelanggaran hak asasi manusia yang serius untuk mengekalkan kuasa,” katanya.

Mengenai peranan Asean Heyzer berkata beliau bekerjasama rapat dengan Indonesia yang nerupakan Pengerusi Asean dan Menteri Luarnya Retno Marsudi.

“Saya berbincang dengan beliau (Retno) betapa pentingnya kemajuan konkrit dalam 5PC untuk menyumbang kepada persekitaran yang kondusif ke arah jalan perdamaian.

“Kami juga membincangkan kemungkinan membangunkan rangka kerja serantau bagi melindungi Rohingya dan semua pelarian dari Myanmar.

“Saya mengulangi seruan Setiausaha Agung kepada pemimpin Asean untuk mengekalkan pembukaan sempadan dan memberi perlindungan dan bantuan kepada pelarian dari Myanmar, selaras dengan sifat kemanusiaan dan bukan politik, supaya tiada pelarian terpaksa kembali kepada situasi tidak selamat di Myanmar.

“Saya berharap untuk melawat Jakarta untuk mempertingkatkan  kerjasama kami,” katanya.

Heyzer dan Retno memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB pada awal minggu ini dalam satu mesyuarat bagi mengukuhkan kerjasama antara Asean, PBB dan rakan kongsi antarabangsa.

“Kami menegaskan rakyat Myanmar mahu melihat kemajuan konkrit dalam 5PC iaitu pengurangan keganasan dan bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke arah meringankan penderitaan semua masyarakat,” katanya.

Heyzer berkata resolusi Majlis Keselamatan PBB melengkapkan resolusi Perhimpunan Agung merupakan peluang untuk membangunkan tindak balas antarabangsa yang koheren terhadap krisis, mempromosikan proses yang diterajui Myanmar bagi mencerminkan kehendak rakyat, penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi, menghormati hak asasi manusia, menangani punca krisis Rohingya dan berusaha ke arah menamatkan keganasan.

“Seperti diketengahkan oleh Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan, kerjasama dengan pertubuhan serantau seperti Asean, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kesatuan Eropah adalah penting dan penyelarasan erat dengan pertubuhan-pertubuhan ini termasuk perwakilan masing-masing merupakan peranan penting saya,” katanya. – Bernama, 17 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen