Rusuhan penjara Myanmar, 1 terbunuh, lebih 60 cedera


Banduan menggunakan kayu, batu bata dan kepingan simen menyerang petugas keselamatan. – Gambar Facebook, 7 Januari, 2023.

SEORANG banduan terbunuh manakala lebih 60 lagi cedera dalam rusuhan yang tercetus di sebuah penjara di barat Yangon, Myanmar kata junta pada Sabtu.

Menurut kenyataan junta, rusuhan tercetus selepas pengawal keselamatan merampas telefon bimbit daripada seorang banduan malam Khamis lalu dan mengambil tindakan disiplin.

Rentetan itu, kira-kira 70 banduan melarikan diri dari sel mereka dan merosakkan harta benda pada pagi Jumaat.

Mereka menggunakan kayu, batu bata dan kepingan simen menyerang petugas keselamatan.

Pihak berkuasa cuba mengawal keadaan namun rundingan gagal dan mereka terpaksa menggunakan kekerasan.

“Pihak berkuasa melepaskan tembakan untuk meredakan keadaan,” kata kenyataan itu.

 Menurut junta seorang banduan terbunuh dalam ‘pertempuran’ itu dan 63 banduan lain cedera bersama dua anggota polis serta sembilan pengawal keselamatan.

Media tempatan menyifatkan banduan yang maut itu sebagai tahanan politik manakalaBBC Burma melaporkan banduan itu didakwa atas kesalahan keganasan.

Junta melancarkan siasatan berkait kejadian itu.

Minggu lalu, junta mengumumkan akan membebaskan lebih 7,000 banduan sempena ulang tahun ke-75 kemerdekaan Myanmar daripada Britain.

Menurut kumpulan pemerhati tempatan, lebih 2,700 orang terbunuh sejak rampasan kuasa tentera dan lebih 13,000 orang ditahan sebagai sebahagian daripada tindakan keras kerana perbezaan pendapat.

Julai tahun lalu, rejim menjatuhkan hukuman mati terhadap empat banduan termasuk bekas ahli Parlimen, Phyo Zeya Thaw dan aktivis demokrasi, Kyaw Min Yu dikenali sebagai Jimmy.

Ia adalah hukuman mati pertama dilaksanakan di Myanmar dalam tempoh 30 tahun sehingga mencetuskan kecaman dari seluruh dunia. – AFP, 7 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen