Polis Greece tahan lebih 60 perusuh


Lebih 60 orang terlibat dalam rusuhan di Athens dan Thessaloniki yang tercetus susulan kematian seorang remaja akibat terkena peluru polis. – Gambar AFP, 15 Disember, 2022.

POLIS Greece semalam menahan lebih 60 orang yang terlibat dalam rusuhan di Athens dan Thessaloniki yang tercetus susulan kematian seorang remaja akibat terkena peluru polis, lapor Sputnik.

Remaja berusia 16 tahun itu ditembak oleh seorang anggota polis minggu lepas kerana didakwa tidak membayar 20 euro (AS$21) untuk mengisi gas dan cuba melarikan diri dengan sebuah trak.

Kematian Kostas Fragoulis di hospital Thessaloniki pada Selasa mencetuskan gelombang baharu demonstrasi besar-besaran yang mendorong polis mengisytiharkan amaran tahap merah di seluruh negara.

Di Athens sahaja kira-kira 2,500 orang menghadiri perhimpunan, menurut polis.

“Semasa demonstrasi beberapa kumpulan berasingan menyerang pegawai polis, membaling batu dan objek lain dan polis terpaksa menggunakan peralatan perlindungan. Seramai 26 orang dicekup dua daripadanya ditahan,” kata polis dalam kenyataan.

Di Thessaloniki kira-kira 3,000 orang mengambil bahagian dalam demonstrasi.

Menurut polis sebaik demonstrasi berakhir sekumpulan penunjuk perasaan yang memakai penutup muka membaling Molotov koktel ke arah pegawai polis. – Bernama, 15 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen