Ratusan ditahan di Pakistan, perusuh bunuh pengurus kilang


Pengawal keselamatan memeriksa keadaan kilang selepas ratusan pekerjanya merusuh dan membunuh pengurusnya.– Gambar EPA, 4 Disember, 2021.

120 orang ditahan di Pakistan selepas seorang pengurus kilang warga Sri Lanka dipukul hingga mati dan dibakar oleh kumpulan perusuh yang menuduhnya menghina agama, kata pegawai pada hari Sabtu.

Serangan itu mencetuskan kemarahan, dengan Perdana Menteri Imran Khan menggelarnya sebagai “hari memalukan bagi Pakistan”.

Beberapa isu di Pakistan teloah mencetuskan ketegangan, malah sedikit pun penghinaan terhadap Islam boleh menimbulkan rusuhan.

Insiden itu berlaku pada Jumaat di Sialkot, sebuah daerah di wilayah tengah Punjab, kira-kira 200 kilometer (125 batu) tenggara ibu kota Islamabad.

Polis pada Sabtu berkata pengurus terbabit dibunuh selepas dikatakan menghina agama.

“Khabar angin tersebar di kilang berkenaan bahawa pengurus itu telah mengoyakkan poster agama dan membuangnya ke dalam tong sampah,” kata Zulfiqar Ali, yang merupakan seorang pegawai polis di kawasan berkenaan kepada AFP.

Jurucakap polis Khurram Shehzad berkata 120 orang telah ditangkap, termasuk salah seorang tertuduh utama.

Seorang ulama dan wakil khas perdana menteri mengenai keharmonian agama Tahir Ashrafi, mengesahkan penahanan itu dan memberitahu AFP bahawa pekerja telah mengadu pengurus itu “sangat tegas”.

“Pakar polis sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut, termasuk beberapa pekerja kilang memainkan isu agama untuk membalas dendam terhadap pengurus itu,” kata Ashrafi.

Shehzad berkata serbuan masih diteruskan. – AFP, 4 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen