POLIS menyuraikan penunjuk perasaan di hab protes utama di pusat bandar Ottawa pada Sabtu, menggunakan belantan dan penyembur lada dan membuat berpuluh-puluh tangkapan, dalam usaha mereka menghalau keluar penunjuk perasaan yang menduduki ibu kota Kanada.
Ratusan anggota dikerahkan ke pusat bandar dan berdepan dengan penunjuk perasaan yang mara ke arah polis dan melepaskan bom asap sambil melaungkan slogan kebebasan.
Menjelang tengah hari, polis yang disokong oleh kenderaan taktikal dan diawasi oleh penembak tepat berjaya menyuraikan penunjuk perasaan di Jalan Wellington di hadapan Parlimen Kanada—pusat demonstrasi yang dicetuskan pemandu lori sejak hampir sebulan lalu yang membantah peraturan kesihatan Covid-19.
Lori ditunda dan khemah, gerai makanan dan struktur lain yang didirikan oleh penunjuk perasaan telah dirobohkan.
Ketua polis Ottawa Steve Bell memberitahu sidang akhbar, operasi pada hari kedua menunjukkan perkembangan yang baik dan turut memberi amaran bahawa ianya masih belum berakhir.
Di jalan sekitar parlimen, polis turut menyampaikan mesej kepada penunjuk perasaan, “Kamu mesti bersurai atau akan ditangkap”.
Bell berkata 170 orang telah ditahan sejak permulaan operasi, 47 daripadanya pada hari Sabtu.
Beliau turut menyeru ibu bapa agar tidak meletakkan risiko ke atas anak mereka dengan meletakkan mereka di hadapan ketika operasi polis. – AFP, 20 Februari, 2022.
Komen