Kumpulan penasihat gesa Asean tingkat tekanan ke atas Myanmar


Ravin Palanisamy

Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar turut menggesa negara-negara Asean supaya menghentikan pengusiran pencari suaka dan pelarian. – Gambar AFP, 3 Februari 2023.

MENTERI-menteri Luar Negeri Asean yang bermesyuarat di Jakarta mesti mengambil tindakan tegas bagi menangani konflik di Myanmar yang menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal akibat rampasan kuasa di negara itu, kata sebuah kumpulan.

Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar (MAGM) juga menegaskan Asean perlu meningkatkan tekanan ke atas junta agar segera menghentikan penindasan ke atas rakyat Myanmar.

“Krisis Myanmar dijangka lebih buruk pada 2023, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seramai 17.3 orang di negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan,” kata pengerusinya Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan.

Menurut Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), konflik di Myanmar menyebabkan lebih 1.5 juta penduduk hilang tempat tinggal setakat 26 Disember tahun lalu, termasuk 250,000 kanak-kanak sejak rampasan kuasa pada Februari 2021.

Kebanyakan pelarian berada di kawasan barat laut dan tenggara Myanmar.

Syed Hamid berkata konflik berterusan di negara itu menghalang usaha mencari penyelesaian jangka panjang serta memustahilkan penghantaran pulang pelarian Myanmar, termasuk etnik Rohingya, secara sukarela dan selamat.

“Kami menyeru Asean supaya meningkatkan tekanan ke atas junta agar bantuan dan perlindungan kemanusiaan kepada mereka yang teruk terjejas akibat konflik dapat disalur dengan segera dan tanpa halangan serta diskriminasi.

“Ini termasuk krisis hak asasi manusia Rohingya dan pengusiran berpanjangan sebagai tumpuan utama dalam struktur Konsensus Lima Perkara Asean.

“Kami selain itu menggesa negara-negara Asean yang menerima pelarian dari Myanmar supaya menghentikan pengusiran pencari suaka dan pelarian, tanpa mengira status UNHCR mereka,” katanya. – 3 Februari 2023. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen