Kisah lepas usah dikenang, fokus agenda Pakatan, kata penganalisis


Nabihah Hamid

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Kartini Aboo Talib berkata keyakinan pengundi mengenai manifesto adalah perkara utama yang perlu dilakukan jika mahu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – Gambar EPA, 17 Mac, 2018.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad tidak harus berterusan membiarkan dirinya dibelenggu masalah silam ketika zaman pentadbirannya dahulu sebaliknya perlu fokus dalam menyakinkan masyarakat terhadap agenda yang ingin dibawa gabungan itu. 

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Kartini Aboo Talib berkata menyakinkan pengundi mengenai manifesto adalah perkara utama yang perlu dilakukan jika PH mahu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

“Saya berpendapat Dr Mahathir masih dihantui kisah yang lepas. Tindakan beliau saya kira tidak relevan (mengakui kesilapan) kerana yang dikatakannya tidak lagi dapat membela diri atau menjawab tuduhan yang diberi. 

“Dr Mahathir boleh terus fokus kepada agenda kempen untuk menang dalam pilihan raya dan terus menyakinkan pengundi bahawa manifesto yang diperkenalkan adalah sesuatu yang boleh direalisasikan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Tambahnya, janji seperti menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilihat masyarakat sukar untuk dilaksanakan. 

“Pakatan ada gimik yang baik tapi sukar untuk dilaksana dalam tempoh 100 hari,” katanya lagi. 

Bekas perdana menteri Dr Mahathir sebelum ini menyatakan kekesalannya memecat bekas timbalannya, Anwar Ibrahim.

Dalam satu wawancara dengan Sin Chew Daily, pengerusi Bersatu itu mengakui membuat kesilapan dengan memecat Anwar, namun beliau “tiada pilihan”.

Kata Dr Mahathir, beliau “tidak sepatutnya mengikut undang-undang sepenuhnya” dalam memutuskan pemecatan Anwar namun tiada pilihan kerana polis telah mengemukakan segala bukti. 

Senada dengan Dr Kartini, seorang lagi penganalisis Prof Sulaiman Md Yassin berkata Dr Mahathir perlu meneruskan perjuangan untuk menyatupadukan masyarakat. 

Ketua Institut Kesejahteraan Universiti Islam Malaysia (UIM) itu berkata beliau yakin kerjasama antara Dr Mahathir dan Anwar akan membawa masa depan yang lebih cerah kepada negara.

“Dr Mahathir harus berpegang kepada cadangan untuk mendapatkan sokongan Anwar Ibrahim bekerjasama dengan pemimpin PKR.

“Bagi saya (ini) situasi menang-menang. Dr Mahathir ada kekuatan, Anwar juga ada tarikan dan mereka melengkapi antara satu sama lain. 

“Bagus untuk melihat masa silam, tapi perlulah pandang ke hadapan. 

“Bagi saya, (masalah lebih besar) Melayu sudah pecah lima, mereka tidak bersatu. Kita satu agama, satu hadis satu budaya, dan ini (perpecahan) adalah benda tidak betul. Kita memerlukan pemimpin,” katanya lagi. 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata isu lebih penting bagi Dr Mahathir adalah untuk menyakinkan masyarakat bahawa beliau adalah pemimpin PH yang berwibawa untuk merampas Putrajaya. 

“Mahu atau tidak, untuk menggantikan BN (perkara) paling penting (adalah) masyarakat perlu diyakinkan. Anwar dalam penjara, jadi tiada pemimpin yang diyakini… tetapi keyakinan terhadap Dr Mahathir telah terbukti sebab 22 tahun telah cemerlang (mentadbir). 

“Isu (kisah silam) tidak akan selesai apabila dia dipersetujui menjadi pengerusi PH, perkara utama dia cakap dalam ucapan ialah terima kasih kepada keluarga Anwar kerana menerima dia,” katanya. 

Dalam pada itu, Dr Kamarul Zaman Yusoff, yang merupakan penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata pengakuan Dr Mahathir bahawa beliau menyesal memecat Anwar hanya sekadar helah untuk memancing kepercayaan penyokong kuatnya. 

“Beliau hanya mahu memastikan penyokong anwar menerima beliau kembali. Sebab sebelum ini banyak penyokong Anwar seperti reformis marah dengan beliau. 

“Sekarang beliau terpaksa meyakinkan golongan reformis bahawa beliau bukanlah punca sebenar apa berlaku anwar 1998 dahulu. Jadi beliau melepaskan tanggungjawan kepada orang lain. Dia terpaksa menyalahkan pihak lain,” katanya.

Dr Mahathir juga sedar Bersatu akan dibatalkan pendaftarannya dan akan bergantung kepada logo PKR untuk bertanding pada PRU14. 

“Saya rasa tindakan itu kerana Bersatu berhadapan situasi pendaftaran mereka boleh dibatalkan oleh RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan). Maka PKR adalah satu wadah menjadi pilihan Dr Mahathir dan calon Bersatu untuk bertanding (pada PRU14).

“Walaupun dia sebut bertanding atas tiket DAP untuk calon Bersatu tetapi ia sangat tidak sesuai. Kenyataan ini mungkin untuk membuka laluan kepada pemimpin PKR agar bersikap lebih terbuka,” katanya lagi. 

Selepas menyertai PH, masyarakat mula kembali mempersoalkan tindakan-tindakan yang dilakukan Dr Mahathir ketika era pentadbirannya selama 22 tahun. 

Antara isu dibangkitkan ialah insiden Memali, Ops Lalang, dan pembangunan kaum India

Dr Mahathir bagaimanapun menyalahkan MIC dan berkata adalah tidak adil untuk mengatakan beliau tidak berbuat apa-apa untuk masyarakat India ketika menjadi perdana menteri dahulu.

“Apa pun, kami lakukan mengikut apa yang MIC minta. Dan kami ikut. Malangnya, MIC tidak dapat mengguna apa yang telah diwujudkan atau dana yang diberi kepada mereka dengan cara yang betul. Dan ia nampak macam saya tak buat apa-apa.

“MIC terbitkan sebuah buku yang mengatakan saya buat macam-macam untuk orang India. Tak semua yang anda minta diberi oleh saya. Tetapi apa yang telah diminta oleh MIC dipatuhi,” katanya pada minggu lalu. – 17 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sesiapa sahaja yang menyertai blok politik pembangkang terutamanya Pakatan Harapan, semua kesalahan, kesilapan dan 'dosa' silam individu terbabit akan terpadam dengan serta merta secara automatik. Mahathir pun tidak terkecuali. Segala kecaman, makin hamun mampu dijilat kembali dan beginilah sebenarnya sikap golongan yang terdesak mengejar jawatan dalam pentadbiran negara.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan