Tragedi Memali tidak jadi kalau mufti buat kerja, kata Dr Mahathir


Diyana Ibrahim

Tragedi Memali menyaksikan guru agama Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya terbunuh bersama 13 pengikut yang mempertahankannya daripada ditahan polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). – Gambar Youtube, 30 Disember, 2017.

PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad menggesa para mufti agar turut bertanggungjawab ke atas peristiwa berdarah Memali, 32 tahun lalu.

Dr Mahathir berkata, tragedi itu tidak akan terjadi jika mufti melaksanakan peranan mereka menegur ucapan kontroversi pemimpin muda PAS waktu itu, Abdul Hadi Awang yang mendorong penduduk Memali tersebut bertindak ekstrem.

Bekas perdana menteri itu berkata, para mufti sebaliknya hanya diam seribu bahasa apabila ucapan digelar Amanat Hadi itu menjadi ketaksuban pengikut PAS.

“Saya ingin bertanya kepada mufti-mufti yang menjadi penasihat kepada raja kita, apabila PAS dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS adalah kafir, kenapakah mufti-mufti tidak membetulkan kenyataan mereka?

“Saya fikir mufti-mufti patutlah bertanggungjawab kenapa berlaku peristiwa Memali

“Ia tidak akan berlaku kalau awal-awal lagi mufti mencabar kenapakah amanat Hadi tidak disangkal oleh mereka.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika mengulas ucapan perbahasan disampaikan wakil Kelantan yang menyentuh mengenai kepincangan kepimpinan PAS.

“Saya tertarik dengan ucapan daripada Kelantan, baru dia sedar bahawa PAS itu jual agama, bukan parti Islam. Ia parti yang memperalatkan Islam,” katanya.

Jelasnya, ketaksuban terhadap Amanat Hadi itu menyebabkan pengikut Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya membunuh empat orang polis.

Sebahagian daripada ahli yang hadir pada mesyuarat agung parti Bersatu yang diadakan kali pertama di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Disember, 2017.

“Apa yang kita lihat ialah peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir.

“Inilah hasil, daripda fatwa yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh mufti-mufti, ” kata Dr Mahathir dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Bersatu hari ini.

Dalam ucapannya terdahulu di perhimpunan tersebut, Dr Mahathir turut membuat permohonan maaf atas segala tindakan lampaunya.

Tragedi berkenaan merupakan antara titik hitam dalam rekod Dr Mahathir sepanjang mengetuai pentadbiran negara selama 22 tahun.

Ketika peristiwa itu berlaku pada tahun 1981, Dr Mahathir merupakan perdana menteri manakala timbalannya Musa Hitam memegang portfolio menteri dalam negeri.

Amanat Hadi itu antara lainnya menyatakan bahawa orang Islam tidak perlu memeluk agama lain untuk menjadi kafir tetapi hanya cukup dengan memisahkan politik daripada ajaran agama.

Ucapan berapi-api Abdul Hadi dalam ceramah di Kuala Terengganu pada 7 April 1981 itu juga menggariskan bahawa perjuangan yang dilakukan PAS adalah jihad dan ahli parti itu mati syahid sekiranya terkorban dalam perjuangan.

Ucapan Abdul Hadi, yang kini presiden PAS, membawa kepada perpecahan dan ketaksuban di kalangan pengikut parti politik dan membawa kepada tuduhan kafir-mengkafir di kalangan masyarakat Islam tempatan waktu itu.

Kalangan pengikut parti terbabit juga turut dilaporkan memulaukan kegiatan masyarakat dan acara ibadat pengikut parti lain, ekoran ucapan tersebut. – 30 Disember 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen