Tanding ketua Wanita Umno sebab Azalina pergi naib presiden, kata Shahrizat


Diyana Ibrahim

Shahrizat Abdul Jalil mempertahankan keputusannya untuk bertanding biarpun menerima pelbagai kritikan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2023.

SHAHRIZAT Abdul Jalil berkata beliau memutuskan untuk bertanding semula jawatan ketua Wanita Umno hanya setelah Azalina Othman Said mengesahkan bertanding naib presiden.

Katanya, beliau tidak akan menawarkan semula kepimpinannya sekiranya Azalina bertanding ketua Wanita Umno kerana baginya jawatan itu mesti dipegang oleh pemimpin yang berjawatan menteri atau ahli Parlimen.

Shahrizat juga menghormati Azalina yang dianggapnya seorang pemimpin yang berani dan lantang.

“Saya hormati beliau, saya suka pemimpin yang berani. Kalau Azalina seorang menteri undang-undang yang hebat nak bertanding confirm saya tak akan bertanding.

“Presiden Ahmad Zahid Hamidi memerlukan pasukan yang kuat sebab keadaan dah lain, jadi kita kena beri kekuatan kepada presiden bukan menumpang kekuatan presiden,” katanya dalam wawancara dengan NRC TV di Facebook malam tadi.

Pada pemilihan Umno yang akan diadakan bulan depan, Shahrizat mencabar Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad.

Pada pemilihan Umno yang lepas, Shahrizat, 70, ketika itu tidak bertanding atas alasan rakyat mahu melihat pembaharuan dan perubahan dalam Umno, selepas mengemudi sayap Wanita sejak 2009.

Noraini, 55, yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, mengetuai Wanita Umno Malaysia selepas mengalahkan pemimpin Wanita Umno Sabah Azizah Mohd Dun dan bekas ketua Wanita Umno Malaysia Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan parti yang diadakan selepas PRU14 itu.

Dalam wawancara malam tadi, Shahrizat juga mempertahankan keputusannya untuk bertanding biarpun menerima pelbagai kritikan.

Katanya, tidak ada salahnya beliau bertanding semula kerana yakin pengalaman yang dimilikinya mampu membantu bukan sahaja wanita namun Umno untuk bangkit semula secara keseluruhan selepas prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Shahrizat juga menolak dakwaan kononnya beliau lari meninggalkan Umno apabila meletakkan jawatan sebagai ketua wanita Umno selepas PRU14.

“Saya nak bantu presiden, kenapa tak bolehkah? Sebab saya ada pengalaman, naik turun saya dengan Umno. Kalau kita nak bantu bukan masa senang sahaja tapi masa susah.

“Saya tinggalkan kepimpinan dulu bukan sebab Umno susah tapi sebab saya ada harga diri, saya serah pada ahli Parlimen lebih muda.

“Orang kata saya lari tapi tidak… saya tak lari masa Umno susah,” katanya.

Shahrizat kalah pilihan raya umum 2008 tetapi dilantik sebagai senator dan seterusnya menteri dalam kabinet Najib Razak pada 2009, kembali ke portfolio wanita, keluarga dan masyarakat yang disandangnya sejak 2001 semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Pada hujung 2011, Shahrizat dan keluarganya terpalit dengan dakwaan penyelewengan pinjaman kerajaan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd.

Siasatan agensi antirasuah bagaimanapun merumuskan Shahrizat tidak terlibat sebaliknya mendakwa suami beliau Mohamad Salleh Ismail selaku pengerusi eksekutif syarikat di mahkamah.

Pada November 2015, mahkamah membebaskan Mohamad Salleh daripada tuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta. – 7 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen