Hasni, Wan Rosdy rebut jawatan Naib Presiden Umno


Bekas Menteri Besar Johor Hasni Mohammad mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2023.

PERSAINGAN bagi merebut jawatan Naib Presiden Umno semakin ‘panas’ apabila Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Menteri Besar Johor Hasni Mohammad mengesahkan mereka juga bakal bertanding.

Hasni dan Wan Rosdy mengesahkan sudah menyerahkan borang pencalonan mereka di ibu pejabat parti hari ini menerusi hantaran di laman Facebook masing-masing.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Johari Abdul Ghani pula merupakan antara muka baharu yang mengumumkan bakal berentap merebut jawatan itu pada Pemilihan Umno 2023 setakat ini.

Jawatan Naib Presiden Umno disandang bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid dan Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin.

Khaled dan Mahdzir mengumumkan akan mempertahan jawatan itu manakala Ismail Sabri belum menyatakan pendirian beliau.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad turut mengesahkan akan mempertahan jawatan yang disandangnya dan sudah mengemukakan borang pencalonan.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu dijangka bertembung bekas Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil yang menyerahkan borang pencalonan untuk kembali menerajui sayap itu pada 17 Februari.

“Iltizam saya masih sama, ingin meneruskan agenda yang kami gerakkan bersama selama ini dalam memperkasakan Umno dan Wanita khususnya.

“Saya ingin menawarkan diri untuk terus berkhidmat kepada parti, rakyat dan negara. Pengalaman mengemudi Wanita dalam keadaan parti kalah dan kewibawaan parti kita dipersoal membulatkan tekad saya untuk terus memimpin Wanita selari dengan kepimpinan parti,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook.

Pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu akan diadakan pada 11 Mac manakala bagi jawatankuasa Umno bahagian, jawatan naib presiden serta ahli MKT pula pada 18 Mac. – Bernama, 24 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen