MB Johor tak tanding jawatan Umno Pusat


Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengesahkan tidak akan bertanding bagi mana-mana jawatan Umno di peringkat pusat dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

Namun beliau memutuskan untuk bertanding bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam.

“Saya membuat keputusan untuk terus memberi fokus khidmat bakti kepada negeri Johor dan insya-Allah akan terus berusaha untuk mengukuhkan pentadbiran dan pembangunan negeri Johor.

“Oleh itu, saya tidak akan menawarkan diri untuk jawatan di peringkat pusat tetapi dengan rasa penuh rendah diri ingin menawarkan diri untuk jawatan Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam bagi pemilihan penggal ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Katanya keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan daripada keluarga, rakan, pemimpin-pemimpin lain serta akar umbi di Simpang Renggam.

ADUN Machap itu berkata beliau mahu memberi fokus kepada pentadbiran dan pembangunan di kawasannya dan seluruh Johor.

Sebelum ini Onn Hafiz dikatakan bakal bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi Umno.

Beliau sebelum ini mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi termasuk menuntut Pengerusi BN itu meletakkan jawatan susulan prestasi buruk BN dalam PRU15 lalu.

Pemilihan Umno bakal diadakan bulan depan. – 15 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen