Zambry Kadir tarik diri tanding naib presiden Umno


Setiausaha Agung Barisan Nasional Dr Zambry Abd Kadir menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2023.

ZAMBRY Abd Kadir menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden Umno untuk memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai menteri dalam kerajaan perpaduan serta tanggungjawab sebagai setiausaha Barisan Nasional.

Zambry yang juga menteri luar negeri berkata keputusan dibuat selepas berbincang dengan kepimpinan Umno.

“Setelah berbincang dengan kepimpinan parti, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjadi calon Naib Presiden Umno bagi pemilihan kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Zambry bagaimanapun menawar diri untuk mempertahankan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Sehingga tempoh pencalonan ditutup petang semalam, selain Zambry, tujuh lagi mencalonkan diri untuk jadi naib presiden Umno termasuk dua penyandang iaitu Mahadzir Khalid dan Mohamed Khaled Nordin yang mempertahankan jawatan.

Bekas perdana menteri Ismail Sabril Yaakob tidak mencalonkan diri dan akan menjelaskan keputusannya dalam satu kenyataan yang akan dikeluarkan nanti.

Lima yang lain ialah Johari Abdul Ghani, Hasni Mohamed, Azalina Othman Said, Reezal Merican Naina Merican, dan Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut Zambry, tugasnya sebagai menteri luar negeri melibatkan urusan “demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa”.

“Ia juga sekaligus membawa imej Umno yang saya wakili dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sebagai setiausaha agung BN pula, Zambry berkata beliau mahu fokus untuk mengukuhkan hubungan antara parti dalam gabungan itu dan juga antara parti dalam kerajaan.

Umno akan mengadakan pemilihan bagi jawatan di peringkat pusat, yang diadakan serentak dengan pemilihan bahagian, pada 18 Mac ini.

Ia berlangsung selepas pemilihan di peringkat cawangan yang berakhir semalam dan pemilihan peringkat tiga sayap bahagian pada 11 Mac.– 27 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen