Adun Petagas umum keluar Warisan, sertai Gagasan Rakyat


Adun Petagas Awang Ahmad Sah Awang Sahari (duduk dua dari kiri) pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini. – Tangkap layar, 27 Februari 2023.

ADUN Petagas Awang Ahmad Sah Awang Sahari yang juga bendahari agung Warisan hari ini mengumumkan beliau mengambil keputusan keluar daripada parti itu.

Beliau yang juga ketua bahagian Warisan Putatan akan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), dan keputusan berkenaan dibuat untuk memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat di kawasannya.

“Setelah berfikir dan mengadakan perbincangan selama tiga bulan saya tanpa ragu-ragu mengambil keputusan meningalkan Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat kerana mendapat sokongan daripada hampir semua ahli Jawatankuasa Warisan Bahagian Putatan.

Keputusan ini (keluar Warisan) dibuat demi rakyat di kawasan saya…saya mahu rakyat tahu macam mana keadaan kita sekiranya kita berada dalam kerajaan berbanding kita menjadi pembangkang,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Turut hadir kira-kira 20 orang ahli Jawatankuasa Warisan Bahagian Putatan yang turut bersama-sama beliau keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat.

Tindakan Awang Ahmad Sah itu menyebabkan Warisan kini hanya mempunyai 15 Adun di Sabah, serta satu di Selangor manakala kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor pada masa ini mendapat sokongan majoriti 49 Adun.

Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 73 Adun dipilih dan enam Adun dilantik, menjadikan keseluruhan 79 Adun.

Mengulas lanjut, Awang Ahmad Sah berkata beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Hajiji yang juga presiden Gagasan Rakyat sebelum ini bagi membincang perkara berkenaan pada Jumaat lepas.

“Kita telah berbincang dan saya setuju dengan perancangannya untuk memajukan rakyat dan negeri ini. Oleh itu kini kita menyerahkan keputusan kepada ketua menteri dalam konteks kepimpinan di kawasan saya,” katanya. – Bernama, 27 Februari 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen