Hajiji dipilih presiden Gagasan Rakyat


Hajiji Noor dan pemimpin Bersatu Sabah keluar daripada parti itu pada 10 Disember lalu sebelum menyokong kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2023.

KETUA Menteri Sabah Hajiji Noor secara rasmi dipilih sebagai presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada mesyuarat agung khas (EGM) parti itu di Kota Kinabalu hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam kenyataan hari ini berkata, dengan pemilihan itu beliau dan semua ahli GRS mempunyai wadah politik yang 100% tempatan bagi meneruskan perjuangan untuk rakyat dan negeri.

“Dua ciri utama Gagasan Rakyat yang menjadi faktor penarik saya dan rakan-rakan untuk bersama-sama dalam parti ini ialah parti berbilang kaum yang membawa citra inklusiviti dan parti suara anak Sabah yang mengangkat citra perjuangan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, agenda Gagasan Rakyat juga selari dengan empat tonggak perjuangan GRS iaitu Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu).

“Kita memilih dan memutuskan formula tempatan berupaya melonjakkan agenda perjuangan dan kepentingan negeri dalam Persekutuan Malaysia. Kita mahu pelaksanaan sistem federalisme yang lebih bernilai dan bermakna, berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Hajiji berkata, beliau akan menerangkan dengan lebih terperinci hala tuju Gagasan Rakyat pada 2 Mac depan.

Menurutnya struktur organisasi parti juga akan ditubuhkan di semua 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk pembentukan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.

Katanya mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian parti dijadualkan pada Julai dan September depan manakala kongres tahunan pada November.

Hajiji turut mengumumkan barisan awal Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat dengan selebihnya akan dilantik dalam masa terdekat.

Senarai Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat:
Presiden: Hajiji Noor
Timbalan Presiden: Masidi Manjin
Naib Presiden I: Mohd Arifin Mohd Arif
Naib Presiden II: Rubin Balang
Naib Presiden III: Masiung Banah
Ketua Pergerakan Wanita: Redonah Bahanda
Ketua Pergerakan Pemuda: Fairuz Renddan
Ketua Pergerakan Beliawanis: Emmie M Idang
Setiausaha Agung: Mohd Razali Razi
Timbalan Setiausaha Agung: Stephen Jacob Jimbangan
Bendahari Agung: Ghulam Haidar Khan
Timbalan Bendahari Agung: Tahir Picho
Ketua Penerangan: Nizam Abu Bakar Titingan.
– Bernama, 5 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen