SELEPAS umum keluar parti semalam, bekas pemimpin dan wakil rakyat Bersatu Sabah bercadang untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), lapor The Star.
Laporan memetik sumber itu menyebut perbicangan sedang diadakan antara Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan timbalannya Masidi Manjun dengan parti tempatan pimpinan Steven Jimbangan itu.
PGRS yang didaftarkan pada 2013 tidak aktif sejak Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2020.
Masidi yang juga setiausaha agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enggan mengulas mengenai perkara tersebut namun memaklumkan kepada The Star keputusan hasil perbincangan akan diumum dalam masa terdekat.
Semalam, Hajiji yang juga pengerusi GRS umum pemimpin Bersatu Sabah sebulat suara memutuskan untuk meninggalkan parti itu tetapi terus kekal di bawah GRS.
Keputusan itu katanya kerana kewujudan Bersatu di Sabah tidak dapat dipertahankan lagi, dan selepas mengambil kira landskap politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama di negeri itu, jelas Hajiji.
Kerajaan negeri yang ditunjangi GRS - Barisan Nasional (GRS-BN) juga katanya mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan kerajaan perpaduan persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.
“Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri Borneo di Malaysia.
“Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah,” katanya dalam kenyataan semalam. – 11 Disember, 2022.
Komen