Umno, BN tarik balik sokongan kepada Hajiji, umum Bung Moktar


UMNO dan Barisan Nasional (BN) malam ini menarik balik sokongan kepada Hajiji Noor selaku ketua menteri Sabah, umum pengerusi parti negeri Bung Moktar Radin.

Penarikan balik sokongan 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu menjadikan kerajaan negeri dengan 46 kerusi yang dibentuk 27 bulan lepas kini runtuh.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempunyai 79 kerusi, termasuk enam Adun lantikan. Mana-mana pihak memerlukan sekurang-kurangnya 40 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Bung yang juga timbalan ketua menteri Sabah membuat pengumuman itu selepas mesyuarat dua jam badan perhubungan Umno negeri di Kota Kinabalu, yang bermula pukul 8 malam tadi.

“Umno, Barisan Nasional menarik diri dan menarik sokongan kepada Hajiji Noor selaku ketua menteri,” umumnya.

Jelas beliau, Umno dan BN menarik balik sokongannya selepas Hajiji, yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melanggar perjanjian yang mereka meterai selepas pilihan raya negeri pada September 2020.

GRS mempunyai 29 wakil rakyat termasuk 15 bekas anggota Bersatu, 7 dari Parti Bersatu Sabah (PBS), enam dari Star dan seorang dari SAPP.

GRS juga dikatakan mempunyai sokongan tiga Adun Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta masing-masing seorang dari PAS, Parti Bangsa Malaysia dan bebas.

Blok pembangkang dibentuk oleh Warisan dengan 19 wakil rakyat bersama tujuh dari Pakatan Harapan (PH), iaitu empat dari DAP, dua dari PKR dan seorang dari Upko.

Bung Moktar membuat pengumuman malam ini lebih kurang 36 jam selepas Warisan sepatutnya mengadakan sidang media petang semalam di tengah spekulasi adanya gerakan dengan BN untuk menukar kerajaan pimpinan Hajiji.

Pengumuman itu juga dibuat hanya lebih kurang empat jam selepas Hajiji mengesahkan akan merombak kabinet negeri susulan keadaan politik yang tidak menentu sejak beberapa hari lalu.

Rombakan itu dijangka akan menggugurkan beberapa menteri negeri BN dan diganti dengan Adun PH.

Awal hari ini juga Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keadaan politik di Sabah tenang dan tiada perubahan dalam kepimpinan negeri pada masa ini.

Beliau membuat rumusan itu, katanya, daripada gambaran mengenai keadaan semasa di Sabah selepas berhubung dengan Hajiji dan Bung Moktar serta presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

“Nampak keadaan tenang sementara ini dan saya tidak fikir ada apa-apa gejolak yang berlaku,” katanya.

Anwar juga berkata beliau sudah meminta Hajiji untuk berbincang dengan rakan-rakan pimpinan politik di Sabah. – 6 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen