Kenyataan media Umno, BN Sabah menarik balik sokongan kepada Hajiji Noor


PENUBUHAN Kerajaan Negeri Sabah sekarang adalah hasil persefahaman yang termeterai di antara parti Barisan Nasional, Parti Bersatu Sabah dan parti-parti komponen Perikatan Nasional terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (Sapp) selepas keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16.

Persefahaman politik tersebut antara lain menyebut ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional/Umno akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah selagi mana pelantikan ahli Jemaah Menteri serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada Barisan Nasional/Umno seperti termaktub di dalam perjanjian persefahaman politik dihormati.

Kendatipun, persefahaman politik tersebut telah dicabuli oleh Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor apabila:

  • Beliau bertindak memecat Panglima Salleh Said Keruak (Adun N.10 Usukan – BN/Umno) daripada jawatannya sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad tanpa berunding dengan Pengerusi Barisan Nasional Sabah; dan
  • Bertindak mengumumkan bahawa satu rombakan Jemaah Menteri akan dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan Pengerusi Barisan Nasional Sabah.

Oleh kerana kemungkiran terhadap persefahaman politik tersebut, maka Barisan Nasional/Umno telah mengambil ketetapan bahawa kesemua 18 Adun Barisan Nasional/Umno dengan ini menarik balik sokongan dan mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Malahan, Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor bukan lagi Ketua Parti politik bagi maksud Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah apabila beliau telah mengisytiharkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu, iaitu pihak di dalam perjanjian persefahaman politik.

Dengan penarikan sokongan kepercayaan ini, Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor telah hilang majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah dan tidak berkelayakan untuk dilantik ke jawatan Ketua Menteri.

Justeru, bersesuaian dengan kehendak Fasal 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah dibaca bersama Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, Barisan Nasional/Umno akan menyembah maklum kepada TYT Yang DiPertua Negeri Sabah untuk melaksanakan fungsi TYT Tun selaku Ketua Negeri dengan menyemak pelantikan Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Barisan Nasional/Umno berdoa agar kemelut ini dapat diselesaikan segera demi kestabilan, kemajuan dan kemakmuran rakyat. – 6 Januari, 2023.

* Dikeluarkan oleh Umno Sabah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen