Kemelut politik Sabah sudah tenang, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kemelut politik di Sabah sudah kembali tenang selepas percubaan rampasan kuasa semalam gagal, menambah beliau sudah minta Ketua Menteri Hajiji Noor berbincang secara baik dengan "rakan-rakan di Sabah." – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2023.

KEMELUT politik di Sabah sudah tenang hari ini selepas percubaan menggulingkan Ketua Menteri Hajiji Noor oleh Umno dan Warisan semalam gagal, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata keadaan sudah kembali tenang, menambah tiada kemelut berlaku hari ini berhubung kejadian semalam.

“Nampak keadaan tenang sementara ini dan saya tidak fikir ada apa-apa gejolak yang berlaku.

“Saya nampak tidak ada apa-apa perkembangan, cuma dimaklumkan ada beberapa isu,” katanya kepada pemberita selepas sembahyang Jumaat di Putrajaya.

Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menjelaskan beliau telah meminta Hajiji berbincang secara baik dengan “rakan-rakan di Sabah.”

Semalam beberapa Adun Umno Sabah mencetuskan desas-desus mengenai rampasan kuasa di ngeri itu ketika mereka berhimpun di ibu pejabat parti di Kota Kinabalu.

Ketika ini Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dikatakan akan dipecat kabinet negeri selepas dilaporkan Hajiji telah bakal merombak jemaah menterinya susulan percubaan gagal tersebut.

Bung merupakan salah seorang daripada tiga timbalan ketua menteri selain memegang portfolio menteri kerja raya negeri.

Portal Free Malaysia Today yang memetik sumber melaporkan menteri pelancongan dan kebudayaan dan Adun Umno Sukau Jafry Ariffin turut akan dipecat kerana penglibatannya.

Rampasan kuasa semalam merupakan episod terbaharu untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih di Sabah.

Bagaimanapun ia gagal selepas dilaporkan sekurang-kurangnya 11 daripada 17 Adun Umno tidak akan bersama untuk rampasan kuasa tersebut.

Mereka dilaporkan menolak kerjasama dengan Warisan dan mengesahkan sokongan mereka kepada Hajiji.

Di tengah-tengah kemelut semalam, tujuh Adun Umno Sabah, termasuk Bung, Yakub Khan, bertemu dengan Hajiji malam tadi.

Bagaimanapun, tidak jelas apakah tujuan pertemuan itu.

Hajiji juga dilaporkan akan bertemu dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan lewat hari ini.

Kitingan juga merupakan timbalan ketua menteri dalam kabinet negeri.

Star mempunyai enam Adun termasuk Kitingan.

Semalam Presiden Warisan Shafie Apdal memanggil sidang media pada 4.30 petang.

Selepas menunggu selama dua jam, wartawan kemudian diberitahu ia telah dibatalkan. – 6 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen