Hajiji tak tepati saranan PM, kata Shafie Apdal


Ravin Palanisamy

LANGKAH Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor membentuk Kabinet baharu telah membelakangi janji terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya membentuk kerajaan perpaduan, kata Shafie Apdal.

Presiden Warisan itu juga berkata rombakan Kabinet oleh Hajiji itu juga tidak mencerminkan kerajaan perpaduan seperti dipersetujui dengan pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Majlis angkat sumpah Ahli Jemaah Menteri baharu Sabah telah berlangsung walaupun ia tidak menggambarkan satu kerajaan perpaduan.

“Tindakan Hajiji Noor telah membelakangi saranan perdana menteri dan melanggar persetujuan dan kesepakatan yang telah dicapai,” kata Shafie dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menggesa penubuhan satu jawatankuasa khas seperti yang disarankan Anwar bagi memperincikan bentuk kerjasama antara parti politik di negeri itu dalam usaha mencapai kestabilan politik menyeluruh.

Shafie yang juga bekas ketua menteri Sabah semasa pemerintahan PH berkata Warisan pada 9 Januari lepas telah bersetuju dengan cadangan Anwar berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan Sabah yang turut diterima Umno dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

“Penubuhan secepat mungkin sebuah Jawatankuasa Khas juga ditetapkan bagi merungkai butiran-butiran berkaitan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah yang bertujuan untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri ini.

“Parti Warisan telah memberi sokongan penuh kepada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2023 untuk pembentukan sebuah kerajaan perpaduan di Sabah.

“Saranan itu juga mendapat persetujuan dan sokongan daripada Umno dan KDM yang turut hadir pada pertemuan itu,” katanya.

Semalam, Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata Umno tidak mengiktiraf pelantikan dua Adunnya meyertai Kabinet baharu Hajiji.

Beliau berkata Adun yang telah menerima jawatan itu dianggap telah membelakangi parti. – 12 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen