PENUNJUK perasaan berhimpun di Jerman dan Perancis pada Sabtu menuntut keamanan untuk Ukraine, sehari selepas aktivis di kedua-dua negara menandakan setahun sejak pencerobohan Rusia.
Polis berkata kira-kira 10,000 orang mengharungi salji di tengah Berlin bagi menggesa rundingan dengan Moscow dan menghentikan penghantaran senjata ke Ukraine.
Di bawah slogan “Rise up for peace”, penunjuk perasaan berkumpul di tengah kesejukan di Pintu Brandenburg iaitu berhampiran tempat aktivis meletakkan kereta kebal Rusia yang dibom di hadapan kedutaan Rusia di Berlin sehari sebelumnya.
Dianjurkan oleh ahli politik sayap kiri Sahra Wagenknecht dan feminis Alice Schwarzer, kedua-duanya turut berucap di hadapan penunjuk perasaan.
Demonstrasi itu turut mendapat sokongan daripada ahli politik sayap kanan.
Kedua-dua wanita itu juga telah melancarkan petisyen yang didakwa mengumpulkan lebih 645,000 tandatangan.
Di Paris, polis berkata 3,000 penunjuk perasaan berhimpun ketika mereka menyanyikan lagu kebangsaan Ukraine di Place de la Republique sebelum kanak-kanak Ukraine berpakaian tradisional mengetuai perarakan.
Dalam pada itu, seorang pelarian Ukraine Volodymyr Kraftchenko, 73, mengutuk “mereka yang melanggar tanah kami dan hak kami”.
Krystina Krasnoboka berkata “rasa bersalah” kerana tidak berada di Ukraine sejak setahun lalu telah pudar dan merasakan “lebih berguna untuk berada di Perancis, bagi menghantar bekalan dan wang ke negara itu”.
Ratusan penunjuk perasaan turut berhimpun di tempat lain di seluruh Perancis, termasuk bandar selatan Montpellier, tempat di mana Litouka Kseniia tiba bersama anak perempuannya berusia dua tahun pada April tahun lalu.
“Kita tidak boleh fikir perang akan berakhir tidak lama lagi, kita mesti bersuara bahawa Ukraine sedang menderita dan malangnya terus akan menderita,” kata lelaki berusia 29 tahun itu kepada AFP.
Pada hari Jumaat, beribu-ribu penunjuk perasaan di seluruh Eropah berarak menentang pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.– AFP, 27 Februari, 2023.
Komen