MENTERI Pertahanan Rusia Sergei Shoigu melakukan lawatan di ibu pejabat tentera di Ukraine, menurut kementerian itu pada Selasa.
Di ibu pejabat kumpulan Vostok (Timur) Rusia di lokasi yang tidak dinamakan, Shoigu diberi taklimat oleh komandernya selain diterangkan oleh komander lain “tentang kemajuan misi tempur”, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kementerian itu bagaimanapun tidak menyebut lokasi ibu pejabat yang dilawati Shoigu.
Video yang dikeluarkan kementerian berserta kenyataan itu menunjukkan Shoigu mengadakan pertemuan dengan komander tentera secara peribadi dan melalui pautan video.
Antara mereka yang mengambil bahagian dalam panggilan video itu ialah Ketua General Am Rusia Valery Gerasimov, yang baru-baru ini dipertanggungjawabkan ke atas tentera Moscow di Ukraine.
Video itu juga menunjukkan Shoigu menyampaikan anugerah kepada anggota tentera.
“Anda berkhidmat dengan bermaruah, melindungi Tanah Air kita, menolong mereka yang memerlukan bantuan, melakukan segala-galanya untuk mempercepatkan Hari Kemenangan,” kata Shoigu.
Shoigu pada Disember membuat dua lawatan ke kawasan “operasi ketenteraan khas”, termasuk untuk memeriksa tentera di barisan hadapan, menurut kementerian itu. – AFP, 17 Januari, 2023.
Komen