AS gesa Putin akui realiti berhubung rujukan 'perang' Ukraine


Sejak Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan pencerobohan itu pada Februari, Rusia secara rasmi menggunakan istilah "operasi ketenteraan khas", bukanya perang terhadap Ukraine. – Gambar EPA, 24 Disember, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) menyeru Presiden Rusia Vladimir Putin untuk menerima realiti dan menarik tentera dari Ukraine selepas beliau akhirnya mengaku konflik itu sebagai “perang.”

Sejak Putin mengarahkan pencerobohan itu pada Februari, Rusia secara rasmi menggunakan istilah “operasi ketenteraan khas”, bukanya perang terhadap Ukraine.

Namun pada sidang media pada Khamis, Putin sendiri menggunakan perkataan “perang,” berkata beliau berharap untuk menamatkannya secepat mungkin.

“Sejak 24 Februari, Amerika Syarikat dan seluruh dunia tahu yang ‘operasi ketenteraan khas’ Putin adalah perang yang tidak diprovokasi dan tidak wajar terhadap Ukraine. Akhirnya, selepas 300 hari, Putin menyebut ia sebagai perang,” kata jurucakap Jabatan Negara.

“Sebagai langkah seterusnya dalam mengakui realiti, kami gesa beliau untuk tamatkan perang ini dengan mengundurkan tenteranya dari Ukraine.”

Jabatan Negara berkata, walau apa pun istilah Putin, “pencerobohan Rusia terhadap jirannya yang berdaulat telah mengakibatkan kematian dan kemusnahan.”

Mahkamah Rusia awal bulan ini menjatuhkan hukuman penjara lapan setengah tahun kepada ahli politik pembangkang, Ilya Yashin di bawah undang-undang baharu kerana menyebarkan “maklumat palsu” mengenai perang.

Yashin bercakap tentang “pembunuhan beramai-ramai” di Bucha, bandar berhampiran ibu kota Ukraine Kyiv di mana mayat warga Ukraine yang dipenuhi peluru berpakaian awam dengan tangan terikat di belakang mereka ditemui selepas tentera Rusia berundur.

Seorang ahli parlimen pembangkang yang mengkritik pencerobohan itu, Nikita Yuferev, pada Jumaat berkata beliau memohon tindakan undang-undang terhadap Putin kerana menyebarkan “berita palsu” berhubung rujukan “perang” beliau. – AFP, 24 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen