Ukraine akan lawan sampai menang, kata presiden


Ucapan tahun baharu Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dilihat memberikan kata ucapan tahniah kepada rakyatnya yang bangun melawan Rusia, selain memuji kekuatan tenteranya yang berjaya mengekang kemaraan "tentera kedua dunia." – Gambar AFP, 1 Januari, 2023.

UKRAINE akan menentang pencerobohan Rusia habis-habisan sehingga mencapai kemenangan, kata presidennya Volodymyr Zelensky dalam ucapan Tahun Baharu.

“Kami akan lawan dan terus berjuang. Demi kemenangan,” katanya, ketika negaranya meninggalkan tahun 2022.

Beberapa jam selepas Ukraine diserang bertubi-tubi oleh peluru berpandu Rusia, Zelensky kekal mengambil sikap keras, malah dalam ucapan penuh emosinya, beliau memuji semua yang terlibat dalam perang di Ukraine.

“Saya ingin berkata kepada anda semua: Rakyat Ukraine, anda luar biasa! Lihat apa yang telah kita lakukan dan apa yang kita buat!

“Bagaimana tentera kita telah menghancurkan ‘tentera kedua dunia’ ini sejak hari pertama.

“Tidak ada perkara kecil dalam perang besar,” tambah Zelensky.

“Setiap daripada kita adalah pejuang. Setiap daripada kita adalah barisan hadapan. Setiap daripada kita adalah asas pertahanan.

“Kita berjuang sebagai satu pasukan – seluruh negara, semua wilayah kita. Saya kagum dengan anda semua. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada setiap wilayah Ukraine yang tidak dapat dikalahkan.”

Gelombang terbaharu serangan peluru berpandu Rusia melanda Ukraine termasuk beberapa serangan di Kyiv.

Wartawan AFP mendengar sekurang-kurangnya 11 letupan kuat pada awal petang, malah datuk bandar bandar itu Vitali Klitschko berkata sekurang-kurangnya seorang terbunuh akibat serangan itu. – AFP, 1 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen