Presiden Ukraine minta G7 bekal gas, senjata tambahan


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menggesa kumpulan negara-negara kaya G7 membekalkan gas dan senjata tambahan bagi mengharungi musim sejuk dan untuk memperhebatkan lagi serangan terhadap tentera Rusia. – Gambar AFP, 13 Disember, 2022.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky menggesa negara-negara G7 pada Isnin untuk menyediakan gas dan senjata tambahan untuk membantu negaranya mengharungi musim sejuk yang dijangka menjejaskan berjuta-juta rakyatnya.

Dengan salji di atas tanah dan grid tenaga Ukraine yang dilanda serangan Rusia, ramai yang terpaksa bertahan dengan suhu beku tanpa pemanasan.

Semasa sidang video dengan kumpulan negara-negara kaya itu, Zelensky berkata Ukraine memerlukan “kira-kira dua bilion meter padu” gas tambahan untuk mengharungi musim sejuk.

Beliau juga menggesa G7 menghantar lebih banyak senjata ke Ukraine, termasuk “kereta kebal moden” serta “artileri roket dan lebih banyak peluru berpandu jarak jauh”.

Senjata yang dibekalkan Barat telah membantu mengubah taktik peperangan dengan Rusia.

Seorang pegawai kanan tentera Amerika Syarikat berkata Rusia berkemungkinan beralih kepada artileri dan peluru roket yang lebih usang kerana stok baharunya semakin berkurangan.

Namun Zelensky berkata “Rusia masih ada kelebihan dalam artileri dan peluru berpandu.”

“Ini fakta,” katanya kepada G7. “Keupayaan tentera penjajah inilah yang menyemarakkan keangkuhan Kremlin”. – AFP, 13 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen