AMERIKA Syarikat (AS) mungkin mengumumkan pakej bantuan baharu untuk Ukraine yang turut meliputi penghantaran senjata baharu menjelang hujung minggu, lapor Sputnik, memetik kenyataan Penyelaras Majlis Keselamatan Negara AS bagi Komunikasi Strategik John Kirby.
“Saya percaya anda akan terus mendengar AS akan menyediakan pakej tambahan bantuan keselamatan, senjata tambahan dan keupayaan ketenteraan untuk Ukraine – mungkin seawal akhir minggu ini,” kata Kirby kepada CNN pada Rabu.
Pegawai itu bagaimanapun tidak memberikan butiran tepat mengenai jenis bekalan senjata berkenaan, sama ada turut menghantar kereta kebal tempur ke Ukraine.
“Kami akan terus memodulasi pakej ini supaya ia paling sesuai untuk keperluan Ukraine dan jika kami tidak dapat menyediakannya, kami bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi lain untuk mengetahui sama ada ia boleh dilakukan,” katanya.
Pada 6 Januari, AS mengumumkan pakej bantuan ketenteraan terbesar setakat ini kepada Ukraine bernilai AS$3.75 bilion. Ia antara lain meliputi kenderaan tempur Bradley, peluru berpandu darat ke udara, meriam artileri howitzer dan kenderaan ringan kalis serangan hendap dan periuk api (MRAPS).
Pakej bantuan ketenteraan AS$1.85 bilion untuk Ukraine yang sebelum ini diumumkan pada 22 Disember, termasuk sistem pertahanan udara Patriot.
Negara Barat telah meningkatkan sokongan ketenteraan mereka kepada Kyiv sejak permulaan operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine pada Februari 2022. Pada April, Moscow menghantar nota kepada negara anggota Nato yang mengecam bantuan ketenteraan mereka kepada Kyiv.
Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov memberi amaran bahawa sebarang penghantaran senjata ke wilayah Ukraine akan menjadi “sasaran sah” untuk angkatan tentera Rusia. Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pula berkata penghantaran senjata menjejaskan prospek untuk proses damai pada masa depan. – Bernama, 19 Januari, 2023.
Komen