Dr Mahathir masuk parti Putra


Dr Mahathir Mohamad yang hilang kerusi Parlimen Langkawi kini menyertai parti Putra bersama 12 lagi bekas anggota dan pemimpin parti Pejuang, menurut salah seorang ahli terlibat.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2023.

DR Mahathir Mohamad kini menyertai parti Putra bersama 12 lagi bekas anggota dan pemimpin parti Pejuang, menurut salah seorang ahli terlibat.

Armin Baniaz Pahamin yang merupakan bekas anggota Majlis Eksekutif Pusat Pejuang mengesahkan perkara itu melalui kenyataan di Facebook malam tadi.

Beliau berkata Dr Mahathir mahu meneruskan perjuangan politiknya dalam Putra bersama kumpulan bekas anggota Pejuang yang dinamakannya G13.

“Semua G13 selamat mendaftar keahlian untuk meneruskan perjuangan di bawah Parti Perkasa Bumiputera Malaysia (Putra).

“Misi dan matlamat kita perlu jelas untuk menjayakan sesuatu perjuangan. Perjuangan utama ialah untuk penyatuan orang, parti dan pertubuhan Melayu,” katanya.

Beliau turut menyiarkan gambar yang antara lain menunjukkan bekas pemimpin Pejuang Khairuddin Abu Hassan menghantar borang keahlian Putra.

Dr Mahathir mengasaskan Pejuang selepas digulingkan dari jawatan perdana menteri ketujuh oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Dalam pilihan negeri Johor pada Mac lalu, Pejuang yang menggunakan lambang sendiri tewas di kesemua 42 kerusi yang ditandinginya.

Dalam PRU15, Pejuang tewas lagi apabila bertanding di 60 daripada 126 kerusi bersama Gabungan Tanah Air (GTA), gabungan Pejuang bersama parti Putra, Berjasa, dan Iman.

Dr Mahathir juga hilang kerusi Parlimen Langkawi waktu itu, yang membawa kepada peletakan jawatannya dalam parti.

Pejuang seterusnya berpisah daripada GTA, dan parti itu berdepan krisis apabila lebih 10 anggota dan pemimpin termasuk Timbalan Presiden Marzuki Yahya turut meletakkan jawatan.

The Malaysian Insight pada waktu itu difahamkan peletakan jawatan itu berkait cadangan supaya Pejuang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Marzuki pada awal bulan ini mendedahkan Dr Mahathir yang mengasaskan Pejuang juga keluar parti itu bersama 12 yang lain termasuk pemimpin kanan Pejuang.

Mereka memaklumkan keputusan itu kepada setiausaha agung parti Amiruddin Hamzah melalui sepucuk surat bertarikh 10 Februari. – 25 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen