Dr Mahathir dan 12 yang lain keluar Pejuang


Dr Mahathir Mohamad bertindak keluar daripada Pejuang kerana keputusan parti itu memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air baru-baru ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2023.

DR Mahathir Mohamad yang mengasaskan Pejuang keluar parti itu bersama 12 yang lain termasuk pimpinan kanannya kerana keputusan parti itu memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) baru-baru ini.

Antara yang turut keluar parti ialah timbalan presiden Marzuki Yahya dan beberapa ahli Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang.

Mereka keluar Pejuang untuk meneruskan perjuangan bersama GTA, gabungan yang dianggotai tiga parti Melayu lain – Putra, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) – serta mendapat dukungan pelbagai badan masyarakat, tokoh akademik dan cendekiawan.

“Keputusan Pejuang memutuskan hubungan dengan GTA secara langsung menyingkir kami dari kekal sebagai ahli apabila kami bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA,” kata mereka dalam surat memaklumkan keputusan keluar parti kepada setiausaha agung Pejuang, Amiruddin Hamzah.

Surat bertarikh 10 Februari itu dikongsi oleh Marzuki di akaun Facebook beliau malam ini.

“Bagi kami, matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatupadukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan juga orang perseorangan yang berprinsip dan berpegang kepada perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air.

“Atas kesedaran ini, kami memilih untuk meneruskan perjuangan itu melalui GTA,” kata mereka.

Antara yang keluar Pejuang ialah pengerusi biro ekonominya Armin Baniaz Pahamin serta dua lagi bekas anggota MEP yang terlebih dahulu letak jawatan bulan lalu iaitu Abu Bakar Yahya dan Khairuddin Abu Hassan yang juga bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan.

Pada Disember lepas, Dr Mahathir letak jawatan pengerusi Pejuang tetapi kekal sebagai pengerusi GTA. Peletakan jawatannya disusuli tindakan sama oleh beberapa pimpinan MEP yang kemudian membawa kepada rombakan majlis tertinggi parti itu.

Tindakan mereka dikatakan kerana tidak setuju dengan cadangan presiden parti Mukhriz Mahathir untuk Pejuang bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Pada 14 Januari lepas, pada perhimpunan agung tahunannya Pejuang memutuskan keluar daripada GTA.

Presidennya yang juga anak kepada Dr Mahathir berkata tindakan itu bagi membolehkan Pejuang memberi perhatian kepada usaha untuk mengukuhkan parti selepas prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Pada PRU15, Pejuang kalah semua lebih 60 kerusi parlimen yang ditandinginya daripada keseluruhan lebih 120 kerusi yang ditandingi bersama GTA. Semua calon gabungan itu juga hilang wang deposit pilihan raya.– 10 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen