Tiada perbincangan dengan Pejuang sertai Pakatan, kata Fahmi


Ravin Palanisamy

Tiada perbincangan dengan pejuang untuk menyertai Pakatan Harapan, kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2023.

MASIH tidak ada perbincangan dengan Pejuang untuk menyertai Pakatan Harapan setakat ini, kata Fahmi Fadzil.

Ketua penerangan PKR itu berkata PH tidak akan masuk campur dalam urusan dalaman Pejuang.

“Setakat ini yang saya tahu, tidak ada perbincangan tentang ini (Pejuang menyertai PH).

“Isu pergolakan mana-mana parti adalah isu dalaman parti tersebut, kita tak masuk campur,” kata Fahmi kepada wartawan pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Taman Sentosa, Kuala Lumpur, hari ini.

Pejuang sebelum ini memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) bagi mencipta landasan sendiri.

Pada Januari lepas, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata kerjasama politik dengan PH atau Perikatan Nasional (PN) adalah antara isu yang akan dibincangkan pada perhimpunan agung parti itu.

Bagaimanapun pada Jumaat lepas, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau keluar Pejuang bersama-sama 12 ahli lain.

Dalam notis dihantar kepada Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah, mereka berkata keputusan itu diambil selepas parti itu memutuskan hubungan dengan GTA.

Fahmi berkata fokus PH sekarang adalah mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

“PH pada masa ini memberi tumpuan kepada pengukuhan Kerajaan Perpaduan, ada prinsip dan perkara yang jadi keutamaan kami,” katanya.

Mengulas hasil kajian dikeluarkan Merdeka Centre berkaitan rating Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya, Fahmi berkata ia adalah petunjuk yang baik tentang prestasi semasa mereka.

“Hasil tinjauan Merdeka Centre baru-baru ini menjadi kayu ukur dan kejayaan awal untuk PM tetapi juga adalah ruang muhasabah tentang apa lagi kita boleh buat untuk selesaikan masalah,” katanya.

Tinjauan Merdeka Centre berkata Anwar menerima rating penerimaan sebanyak 68% dengan 54% populasi merasakan Kerajaan Perpaduan melakukan kerja yang baik.

Tinjauan dibuat pada bulan kedua selepas pilihan raya pada November 2022. – 12 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen