Tolak GTA sama seperti tolak saya, kata Dr Mahathir kepada Pejuang


Keputusan Pejuang menolak GTA sama seperti menolak saya, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2023.

KEPUTUSAN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA) adalah petunjuk penolakannya, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Pejuang tolak GTA sama seperti tolak sama. Ini kerana saya dalam GTA tetapi Pejuang tak mahu bersama kami.

“Jadi saya perlu pilih sama ada bersama dengan Pejuang yang saya masih ahlinya atau GTA. Saya pilih untuk bersama GTA,” katanya kepada wartawan di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Bekas wakil rakyat Langkawi itu berkata Pejuang memilih untuk tidak bersama GTA kerana perubahan hala tujunya.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau keluar daripada Pejuang bersama-sama 12 ahli yang lain.

Dalam notis dihantar kepada Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah, mereka berkata keputusan meninggalkan parti itu dibuat selepas Pejuang memutuskan hubungan dengan GTA.

“Keputusan Pejuang memutuskan hubungan dengan GTA secara langsung menyingkir kami dari kekal sebagai ahli apabila kami bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA,” kata mereka.

“Bagi kami, matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatupadukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan juga orang perseorangan yang berprinsip dan berpegang kepada perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air.

“Atas kesedaran ini, kami memilih untuk meneruskan perjuangan itu melalui GTA.”

Notis itu dimuatnaik ke Facebook oleh bekas timbalan presiden Pejuang Marzuki Yahya, antara salah seorang yang menandatangani notis itu.

Pejuang ditubuhkan Dr Mahathir pada Ogos 2020 selepas beliau disingkirkan daripada Bersatu.

Beliau berundur sebagai pengerusi pada Disember lepas selepas kekalahan teruk Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15, di mana semua calon parti itu kalah dan hilang wang deposit bertanding. – 11 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen