Gempa bumi 7.8 magnitud landa selatan Turki


GEMPA bumi berukuran 7.8 magnitud melanda berhampiran Gaziantep di tenggara Turki hari ini, kata Perkhidmatan Geologi AS.

Gempa itu berlaku pada 04:17 pagi waktu tempatan pada kedalaman kira-kira 17.9 kilometer.

Menurut agensi pengurusan bencana kerajaan AFAD, gempa bumi itu berukuran 7.4 magnitud.

USGS melaporkan satu lagi gempa bumi berukuran 6.7 magnitud berlaku berhampiran tapak yang pertama kira-kira 15 minit selepas itu.

Wilayah selatan Gaziantep yang salah satu hab perindustrian dan pembuatan utama Turki bersempadan dengan Syria. 

Gegaran itu dirasai di Lubnan, Syria dan Cyprus, menurut wartawan AFP.

Pihak berkuasa Turki masih belum melaporkan sebarang kematian atau kecederaan tetapi video yang disiarkan di rangkaian sosial menunjukkan bangunan musnah di beberapa bandar di tenggara negara itu.

Turki berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia.

Duzce adalah salah satu wilayah yang dilanda gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter pada 1999, yang paling teruk melanda Turki dalam beberapa dekad.

Gempa itu mengorbankan lebih 17,000 orang termasuk kira-kira 1,000 di Istanbul.

Pakar sudah lama memberi amaran gempa besar boleh memusnahkan Istanbul yang membenarkan pembinaan bangunan berleluasa tanpa langkah keselamatan.

Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda Elazig pada Januari 2020 mengorbankan lebih 40 orang.

Pada Oktober 2020 juga gempa bumi berukuran 7.0 magnitud melanda Laut Aegean membunuh 114 orang dan mencederakan lebih 1,000. – AFP, 6 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen