Menteri luar Israel lawat Turkiye walau diancam Iran


Selepas menggesa rakyatnya segera meninggalkan Turkiye, Menteri Luar Israel Yair Lapid akan melawat Istanbul untuk bertemu rakan sejawatannya Mevlut Cavusoglu. – Gambar EPA, 20 Jun, 2022.

MENTERI Luar Israel Yair Lapid akan melawat Turkiye minggu depan, kata pejabatnya pada Ahad, beberapa hari selepas beliau menggesa Israel meninggalkan negara itu kerana ancaman serangan Iran.

Pengumuman pada Ahad itu dibuat selepas Presiden Israel Isaac Herzog bercakap melalui telefon dengan rakan sejawatannya dari Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan “mengucapkan terima kasih” kepadanya “atas usaha untuk menggagalkan aktiviti pengganas di bumi Turkiye”, menurut kenyataan presiden Israel.

“Presiden Herzog menekankan ancaman itu belum terjadi dan usaha menentang keganasan perlu diteruskan,” tambahnya.

Lapid akan melawat Turkiye pada Khamis dan bertemu rakan sejawatannya Mevlut Cavusoglu, menurut kenyataan kementerian luar Israel.

Pada Isnin, Lapid menggesa rakyat Israel di Turkiye untuk meninggalkan “secepat mungkin”, berkata mereka berhadapan “bahaya sebenar” daripada ejen Iran.

Menteri luar itu memetik “beberapa percubaan Iran melakukan serangan pengganas terhadap warga Israel yang sedang bercuti di Istanbul”.

“Jika anda sudah berada di Istanbul, pulang ke Israel secepat mungkin,” katanya.

“Jika anda telah merancang penerbangan ke Istanbul - batalkan. Nyawa anda lebih penting berbanding percutian.”

Amaran keras itu dibuat di tengah-tengah lonjakan terbaru dalam ketegangan antara musuh ketat Iran dan Israel, dengan Tehran menyalahkan negara Yahudi itu atas beberapa siri serangan ke atas infrastruktur nuklear dan ketenteraannya, di Iran dan juga di Syria. – AFP, 20 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen