Indeks rasuah Malaysia turun satu mata, lapor TI-M


Presiden TI-M Dr Muhammad Mohan berkata skor CPI Malaysia dalam 2022 merosot kepada 47 mata daripada 48 mata pada 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2023.

MALAYSIA berada pada kedudukan 61 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang diumumkan Transparency International (TI) berbanding tangga 62 pada 2021. 

Presiden TI-Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan ketika mengumumkan indeks itu berkata skor CPI Malaysia dalam 2022 merosot kepada 47 mata daripada 48 mata pada 2021. 

“TI-M percaya kemungkinan penyebab yang menyumbang kepada kemerosotan ini ialah tindakan yang sangat terhad daripada kerajaan terdahulu dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan amalan hak asasi manusia di Malaysia,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. 

Muhammad berkata teguran berterusan dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara mengenai salah laku dan tadbir urus yang lemah oleh pegawai kerajaan adalah merisaukan kerana berlaku berulang kali. 

“Oleh itu, penting untuk penggubal undang-undang menyokong pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memasukkan peruntukan ‘Salah Laku Dalam Badan Awam’ untuk memastikan pegawai kerajaan bertanggungjawab atas tindakan dan keputusan mereka,” katanya. 

Muhammad berkata TI-Malaysia menyeru kerajaan untuk mengambil langkah tegas dan jelas yang diperlukan untuk menangani penurunan skor CPI tanpa kompromi. 

Sebarang kelewatan akan memberi kesan negatif yang berpanjangan terhadap daya saing dan matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang mementingkan etika dan integriti, katanya. 

Berdasarkan skor CPI, lebih tinggi skor direkodkan, lebih bersih sesebuah negara daripada amalan rasuah manakala lebih rendah skor bermaksud lebih tinggi kes rasuah berlaku. – Bernama, 31 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen