Kerajaan perlu telus selesaikan isu kebocoran data, kata TI-M


Transparency International-Malaysia hari ini menggesa kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim menyelesaikan segera isu kebocoran data rakyat kerana ia melibatkan keselamatan negara. – Gambar EPA, 5 Januari, 2023.

KERAJAAN perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim perlu mengambil pendekatan yang lebih telus dan mampan untuk menangani isu keselamatan negara, kata Transparency International-Malaysia (TI-M).

Presidennya Muhammad Mohan berkata kerajaan sekarang perlu lebih proaktif berbanding kerajaan sebelum, menekankan pentingnya penyelesaian jangka panjang kerahsiaan dan keselamatan data.

“Masalah kebocoran data nampaknya berulang dan cenderung dilaporkan oleh media sebelum kerajaan ambil langkah memaklumkan kepada orang ramai, sama ada ia melibatkan janji untuk menyiasat, atau terang-terangan menafikannya,” katanya.

Muhammad Mohan berkata demikian merujuk kepada kes kebocoran data dan penjualan data peribadi pada platform terbuka dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Tambahnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini telah memaklumkan kepada orang ramai ia sedang meneliti kebocoran data tersebut.

“Setengah tahun kemudian, kita masih tidak tahu status siasatan atau punca kebocoran tersebut,” katanya.

Sangat mengecewakan apabila ada dakwaan terbaharu mengenai pelanggaran dan kebocoran data peribadi, katanya.

Muhammad Mohan berkata TI-M juga maklum dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang menggesa Cyber Security Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi menyiasat sama ada wujud kebocoran data.

“TI-M menggesa kerajaan untuk berkongsi secara telus dengan rakyat tentang segala keputusan siasatan terdahulu, apa tindakan yang diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab, dan apa langkah pemulihan yang telah dilaksanakan dalam organisasi atau agensi yang terjejas.

“Metodologi yang sama harus dilaksanakan sepenuhnya untuk siasatan terhadap kebocoran data terbaru yang melibatkan data 12.5 juta orang Malaysia.

“Rakyat telah mengundi umtuk perubahan. Perubahan itu mesti meluas melebihi nama orang-orang di belakang jawatan, dan kiriman di media sosial.

“Perubahan mesti dilihat dalam ketelusan dan kelestarian menangani krisis kepentingan negara,” katanya.

Minggu lepas pengguna Facebook Pendakwah Teknologi yang mendakwa hampir 13 juta maklumat pengguna daripada Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro telah dibocorkan.

Berdasarkan hantaran itu, pada 25 Disember 2022 kira-kira 7.56 malam, sebuah laman web telah menyenaraikan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pengguna SPR.

Maklumat yang dibocorkan didakwa melibatkan nama pengguna, nama penuh pengguna, tarikh lahir, alamat serta nombor kad pengenalan.

Pada 31 Disember, Maybank telah menafikan sebarang kebocoran sistemnya, mendakwa siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati ianya palsu. – 5 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen