Kumpulan antirasuah mahu Parlimen diberi kuasa lantik ketua SPRM


TI-M mengalu-alukan cadangan meletakkan badan antirasuah itu di bawah kawalan Parlimen bagi membolehkan ia berfungsi dengan lebih baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.

TRANSPARENCY International Malaysia (TI-M) mahu kerajaan memperkenalkan pembaharuan dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membolehkannya berfungsi secara bebas.

Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata pembaharuan termasuk pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM yang akan dibuat oleh Parlimen dan bukan perdana menteri seperti diamalkan sekarang.

Beliau juga mengalu-alukan cadangan meletakkan badan antirasuah itu di bawah kawalan Parlimen.

“Langkah ini pasti akan meletakkan SPRM dalam posisi yang kuat untuk melaksanakan tugasnya secara bebas, tanpa rasa takut atau pilih kasih serta tanpa campur tangan daripada kuasa dan pengaruh eksekutif,” kata Muhammad dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembaharuan seperti itu akan membolehkan Parlimen melantik ketua pesuruhjaya mengikut cadangan daripada jawatankuasa pemilih Parlimen mengenai calon berkelayakan.

Beliau juga berkata tempoh jawatan ketua pesuruhjaya harus tetap dan calon tidak boleh disingkirkan walaupun ada pertukaran kerajaan.

Selain itu, katanya pemecatan ketua pesuruhjaya perlu berdasarkan alasan spesifik dan dilakukan oleh Tribunal Khas, sebagaimana memecat hakim.

“Situasi sekarang adalah masalah utamanya kerana kebebasan SPRM boleh dikompromikan jika tugas ketua pesuruhjaya terletak di bawah belas ihsan perdana menteri.”

Beliau bagaimanapun berkata pembaharuan seperti itu, terutama isu pelantikan, akan bertentangan dengan Seksyen 5 Akta SPRM 2009, yang menyatakan ketua pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

Justeru, Muhammad berkata perlu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan agar SPRM “bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukannya bergantung kepada jatuh bangunnya eksekutif”.

“Pembaharuan ini memerlukan sokongan bipartisan tetapi parti politik mana yang akan menolak reformasi ini baik untuk membantu menyelamatkan negara daripada kejahatan rasuah yang menghancurkan negara kita?

“TI-M menyeru semua orang menyokong langkah ini dan merealisasikan perkara ini secepat mungkin kerana masa semakin suntuk dalam perjuangan kita untuk membebaskan negara daripada rasuah.” – 6 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen