Pemantau antirasuah kemuka cadangan tangani skandal LCS


Badan pemantau antirasuah Transparency International Malaysia berkata kerajaan harus memastikan pihak yang disyaki terbabit dalam skandal LCS disiasat dan didakwa. – Gambar Facebook, 8 Ogos, 2022.

TRANSPARENCY International Malaysia (TI-M) hari ini mengemukakan cadangan yang perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan susulan pendedahan mengenai skandal pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) minggu lalu.

Badan pemantau antirasuah itu berkata kerajaan harus memastikan pihak yang disyaki terbabit dalam skandal LCS disiasat dan didakwa.

“Sebarang kegagalan atau kelewatan bertindak oleh kerajaan didakwa akan menunjukkan sikap tidak ikhlas terhadap komitmennya untuk melaksanakan reformasi institusi dan perjuangan membasmi rasuah.

“Malangnya, Malaysia kini semakin dikenali dengan amalan tadbir urus buruk yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dana awam, daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada projek LCS ini.

“Tindakan sudah dan terus akan diambil ke atas isu 1MDB. Berapa lama lagikah kita perlu menunggu untuk melihat pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan kerana satu lagi kegagalan?” katanya dalam kenyataan.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah:

  • Kerajaan tidak perlu membuat bayaran lanjut sehingga penghantaran kapal yang memenuhi spesifikasi kontrak dibuat dan setimpal dengan jumlah RM6.083 bilion yang dibayar sehingga kini.
  • Siasat kontraktor dan subkontraktor LCS di semua peringkat bagi memastikan tiada pemalsuan syarikat (dummy companies) yang mendorong kepada penggelapan kontrak dengan nilai yang besar itu.
  • Prosedur operasi standard (SOP) perlu diadakan untuk audit pertengahan yang akan dijalankan bagi semua projek sektor awam membabitkan berbilion ringgit. Langkah ini akan membantu mengesan sebarang isu dan menanganinya sebelum ia menjadi risiko yang membawa kepada kelewatan serta kemungkinan melampaui bajet yang ditetapkan.
  • Kerajaan perlu memastikan semua projek bernilai dan berimpak tinggi, yang membabitkan wang pembayar cukai disemak oleh Parlimen sebelum ia diluluskan serta memastikan proses tender yang kompetitif diguna pakai.
  • Tindakan tegas diambil jika didapati mana-mana penjawat awam cuai dalam melaksanakan tugas fidusiari berkaitan projek, terutama tugas berkaitan pengawasan dan pelaporan.
  • Memulakan prosiding jenayah terhadap sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan di bawah pelbagai undang-undang di Malaysia, terutama suapan, rasuah dan salah guna jawatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 

Projek LCS bernilai RM9 bilion dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada 2011, tetapi sehingga kini tiada satu kapal pun diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sungguh pun begitu, kerajaan telah membayar RM6 bilion kepada BNS, dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjadi pemegang saham terbesarnya sebanyak 61%.

Mengikut rancangan asal, kapal pertama LCS sepatutnya siap pada 2018 untuk diserahkan kepada TLDM pada pertengahan 2019 manakala kapal terakhir diserahkan pada pertengahan 2023.

Dalam laporannya, PAC berkata penilaian kerajaan ke atas BNS gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu. Kedudukan kewangan syarikat BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan, katanya.

Menurut PAC lagi, terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan kerana pembayaran projek LCS adalah berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar. – 8 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen