INDEKS persepsi rasuah oleh badan pemantau antirasuah global Transparency International (TI) bukanlah gambaran sebenar situasi rasuah dalam sesebuah negara, kata Azam Baki.
“Malah TI sendiri kata ia (berdasarkan) persepsi,” kata ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.
“Kalau saya hendak perincikan bukan semuanya berkait rasuah.
“Ia (kaji selidik) membabitkan isu hak asasi manusia, etika perniagaan dan sebagainya. Apa kena mengena dengan indeks persepsi rasuah?” soal beliau.
Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) TI yang dikeluarkan setiap tahun adalah mengenai persepsi rasuah di sektor awam, yang menurut Azam bukan berdasarkan fakta atau pun bukti.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berkenaan apakah langkah yang akan diambil untuk memperbaiki skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI.
Malaysia terus merekodkan penurunan dalam CPI 2021 buat dua tahun berturut-turut apabila jatuh lima anak tangga kepada kedudukan 62 daripada keseluruhan 180 negara. Pada 2020, Malaysia berada di tangga ke 57
Dari segi skor pula, Malaysia mencatatkan skor 48, berbanding skor sebanyak 51 peratus pada 2020, manakala 53 pada 2019.
Tahap persepsi rasuah ditentukan mengikut skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih).
Azam berkata indeks TI itu boleh diterima jika ia semata-mata berdasarkan rasuah tanpa melibatkan penunjuk lain serta bukti.
“Kalau ada bukti jelas, maka bukan saya sahaja malah kerajaan dan juga orang awam harus terima (kedudukan atau skor) kerana buktinya ada,” ujarnya.
Azam bagaimanapun mengakui CPI meningkatkan momentum kerajaan untuk membanteras rasuah di negara ini.
Namun, katanya SPRM condong kepada kajian berdasarkan bukti yang digunakan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Dadah dan Jenayah (UNODC) berbanding yang dibuat berdasarkan persepsi.
SPRM juga sedang meneroka bagaimana kaedah yang diguna pakai oleh UNODC dipraktikkan di sini.
“SPRM berharap untuk bekerjasama dengan UNODC dalam hal ini, bukan sahaja memberi tumpuan kepada penjawat awam tetapi juga sektor swasta dan orang awam.
“Tinjauan rasuah secara menyeluruh dapat membantu merumus dan membangunkan langkah yang lebih tepat dan mantap dalam usaha memerangi rasuah. Hala tuju ini yang mahu kita utamakan,” katanya. – 21 Julai, 2022.
Komen