MTUC gesa periksa syarikat gagal patuhi akta kerja baharu


Terdapat majikan yang mengubah amalan syarikat dengan meminda terma perkhidmatan tanpa persetujuan pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2023.

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa supaya pemeriksaan ke atas semua syarikat secara berkala dilakukan pihak berkaitan susulan laporan kegagalan majikan mematuhi pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu yang berkuat kuasa 1 Januari lepas.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata Kementerian Sumber Manusia perlu bertindak tegas terhadap majikan yang gagal mematuhi pindaan Akta Kerja 1955 berkenaan dan membuat perdakwaan sekiranya diperlukan.

“Seminggu penguatkuasaan pindaan akta baharu ini dilaksanakan, banyak aduan (diterima) daripada pekerja dan kesatuan sekerja mengenai kegagalan majikan membuat pindaan selaras dengan akta berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Malah beliau mendakwa terdapat majikan yang mengubah amalan syarikat dengan meminda terma perkhidmatan tanpa persetujuan pekerja.

“Sebelum pindaan Akta Kerja, majikan membayar upah bagi masa waktu rehat tetapi setelah pindaan dibuat, majikan tidak lagi membayar upah bagi masa waktu rehat. Majikan mengubah terma perkhidmatan ini supaya waktu kerja adalah 45 jam,” katanya.

Selain pengurangan waktu kerja daripada 48 kepada 45 jam seminggu, pindaan lain akta berkenaan yang berkuat kuasa pada tarikh sama termasuk penambahan cuti bersalin daripada 60 kepada 98 hari dan penetapan cuti paterniti tujuh hari. – Bernama, 9 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen