Putrajaya patut tangguh kemasukan setengah juta pekerja Bangladesh, kata MTUC


Aminah Farid

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia hari ini menyuarakan kebimbangan kemasukan 500,000 pekerja asing bulan ini akan menyebabkan rakyat tempatan hilang peluang kerja sekali gus melemahkan ekonomi selain memufliskan perniagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2022.

BURUH paksa akan jadi tidak terkawal jika Putrajaya benarkan kemasukan 500,000 pekerja asing dari Bangladesh bulan ini, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini.

Setiausaha agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata ketibaan itu juga akan menyebabkan aktiviti buruh tidak terkawal sekali gus melemahkan ekonomi yang boleh menyebabkan rakyat tempatan hilang kerja selain muflis perniagaan.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) buruh paksa boleh diertikan sebagai kerja yang dibuat tanpa kerelaan dan di bawah ancaman sebarang penalti. Ia merujuk kepada situasi di mana individu dipaksa bekerja secara ganas atau diugut, atau dengan cara yang lebih halus seperti manipulasi hutang, tahan kertas pengenalan diri atau ancaman terhadap pihak berkuasa imigresen.

“MTUC bimbang dengan ketibaan 500,000 pekerja Bangladesh yang dijangkakan bulan ini,” katanya.

Minggu lepas, Harian Metro dan Berita Harian melaporkan Kementerian Sumber Manusia menjangkakan ketibaan 500,000 pekerja Bangladesh bulan ini.

“Alasan kerajaan adalah kerana permintaan daripada majikan yang perlukan pekerja asing untuk teruskan operasi,” kata Kamarul.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan telah menambah pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sebelum ketibaan pekerja asing memandangkan ia bertanggungjawab memeriksa premis yang menggaji pekerja asing.

“Adakah kerajaan sudah menambah pegawai JTK sebagai persediaan kemasukan 500,000 pekerja asing ini? Adakah bilangan pegawai JTK mencukupi pada masa sekarang?

“MTUC dimaklumkan antara sebab buruh paksa berlaku kerana kegagalan pemeriksaan secara berkala berikutan kekurangan pegawai di premis yang hanya berjumlah 400 orang sahaja.,” katanya.

Kamarul berkata negara telah berhadapan dengan isu buruh paksa yang menjejaskan pengeluaran minyak sawit serta produk sarung tangan.

Ini, katanya, hanya menunjukkan yang buruh paksa sememangnya satu isu di Malaysia.

Beliau berkata semasa pandemik Covid-19, kerajaan sepatutnya mengambil peluang untuk meninjau bagaimana rakyat tempatan boleh bekerja dalam persekitaran yang kebanyakannya didominasi pekerja asing.

“MTUC juga bimbang selepas mendengar pekerja asing diambil bekerja sebagai penyambut tetamu dan pemandu serta kerani. Pekerjaan ini sepatutnya diisi oleh rakyat tempatan,” katanya.

Pada 2021, bilangan rasmi pekerja asing berjumlah 1.1 juta, membentuk kira-kira 7 peratus jumlah tenaga kerja. – 12 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen