MTUC gesa Putrajaya isytihar cuti umum 19 November


Rakyat Malaysia akan mengundi pada 19 November ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2022.

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu Putrajaya mengisytiharkan hari pengundian pada 19 November sebagai cuti umum yang membolehkan pengundi di sektor swasta membuang undi dengan mudah dan tanpa sebarang tekanan kerja.

Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata 16 juta pekerja itu akan menentukan parti mana yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan seterusnya.

“Kebanyakan syarikat swasta beroperasi pada hari Sabtu dan kebanyakannya hanya memberi cuti untuk mengundi yang menyusahkan mereka yang bekerja di kawasan bandar untuk pulang mengundi di kampung halaman atas faktor masa.

“Mengisytiharkan cuti umum menjelang pilihan raya umum tidak akan membantu mereka yang berada di sektor swasta kerana hari Sabtu adalah hari bekerja bagi kebanyakan pekerja dalam sektor ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga kerajaan negeri Pakatan Harapan – Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan – telah pun mengisytiharkan hari sebelum mengundi sebagai cuti umum di negeri mereka.

Ketiga-tiga negeri PH tidak akan mengadakan pilihan raya negeri pada masa yang sama dengan pilihan raya persekutuan, mengatakan mereka mengutamakan persiapan menghadapi musim tengkujuh.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengisytiharkan cuti umum pada 18 November.

Beliau berkata pengurusan telah memberi masa cuti kepada pekerja untuk mengundi pada pilihan raya sebelum ini namun masa yang singkat menyebabkan mereka tertekan untuk mengundi dan kembali bekerja dengan cepat.

Kamarul berkata kebanyakan syarikat tidak mengeluarkan sebarang arahan pada waktu rehat untuk pekerja membuang undi.

Menurutnya MTUC pernah menerima aduan sebelum ini bahawa sesetengah pekerja diarah menunaikan tanggungjawab mereka semasa tempoh cuti atau berdepan potongan gaji jika melebihi masa yang ditetapkan.

Beliau meminta Kementerian Sumber Manusia memantau dan mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut. – 10 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen