Pulau Pinang isytihar cuti umum 18 Nov


Pulau Pinang negeri ketiga selepas Selangor dan Negeri Sembilan isytihar pemberian cuti umum pada 18 November ini bagi menggalakkan rakyat negeri itu menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2022.

PULAU Pinang negeri ketiga di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Selangor dan Negeri Sembilan isytihar pemberian cuti umum pada 18 November ini, sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pemberian cuti umum itu untuk menggalakkan rakyat negeri itu menunaikan tanggungjawab mengundi pada 19 November ini.

“Cuti khas negeri itu adalah untuk memberikan kemudahan dan juga sebagai galakan kepada rakyat bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Semalam, Selangor dan Negeri Sembilan juga isytihar cuti umum pada 18 November ini.

Tiga negeri ini tidak akan mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15 kerana mahu bersiap sedia berdepan musim tengkujuh.

Kelmarin, Bernama melaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mengkaji cadangan mengisytiharkan cuti umum khas pada 18 November ini. – 10 November, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen