Gaji minimum: Lapor bila syarikat potong elaun, kata MTUC


Alfian Z.M. Tahir

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Bahrin Mansor menggesa semua pekerja yang dipotong elaun atau tidak dibayar agar membuat laporan di pejabat MTUC atau ke pejabat buruh terdekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2022.

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendapat banyak aduan daripada pekerja berhubung pemotongan elaun oleh syarikat selepas pengumuman kerajaan mengenai gaji minimum.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Bahrin Mansor dalam satu kenyataan menggesa pekerja yang dipotong elaun atau tidak dibayar supaya membuat laporan di pejabat MTUC atau pejabat buruh terdekat.

“MTUC terima aduan daripada pekerja yang syarikat telah mula potong elaun seperti pengangkutan dan makanan,” kata Kamarul.

“Kami ingin ingatkan syarikat yang pemotongan elaun adalah satu tindakan mengkhianati usaha kerajaan memperkasakan B40.

“Pekerja yang terjejas perlu segera buat laporan kepada MTUC atau pejabat buruh supaya tindakan boleh diambil terhadap syarikat itu.”

Pada 19 Mac, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan berkuat kuasa 1 Mei gaji minimum dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500.

Beliau bagaimanapun menambah perniagaan kecil dan mikro dibenarkan menangguhkan kenaikan gaji kerana mereka mungkin kurang berkemampuan untuk bayar.

Kamarul kemudiannya berkata MTUC akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyediakan dan menyemak laporan, bertindak dan menyalurkan maklumat berhubung dasar gaji minimum.

Beliau juga menegaskan pejabat buruh juga perlu pastikan setiap laporan segera diteliti.

“Setiap laporan mesti ditangani dan pejabat buruh tidak perlu tunggu aduan untuk bertindak. Pejabat buruh perlu proaktif untuk pastikan gaji minimum dilaksanakan,” kata Kamarul.

“Kekurangan tenaga kerja tidak semestinya menjadi alasan untuk pejabat buruh tidak bertindak. Tindakan lambat pejabat buruh hanya akan menunjukkan yang dasar gaji minimum tidak lain hanyalah kempen politik.”

Perintah Gaji Minimum yang dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia M. Saravanan disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan dan dimuat naik di laman web rasmi Jabatan Peguam Negara.

Menurut warta tersebut di bawah perenggan 4(2), pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang kena dibayar kepada pekerja itu berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022 hendaklah tidak kurang daripada RM1,500. – 27 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen