Dua 'Datuk' ditahan SPRM berhubung isu Menara KL


DUA pengarah kanan syarikat ditahan agensi antirasuah berhubung dakwaan rasuah ratusan ribu ringgit dalam pembelian saham dan pengambilalihan konsesi Syarikat Menara Kuala Lumpur, menurut laporan.

Free Malaysia Today (FMT) melaporkan dua individu berpangkat “Datuk” berusia 49 dan 59 tahun itu ditahan petang tadi di ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber dipetik FMT, seorang Datuk merupakan pengarah urusan syarikat yang dikatakan mengambil alih saham Syarikat Menara KL dan seorang lagi merupakan orang tengah dalam urusan pengambilalihan syarikat tersebut bagi pihak orang atasan.

Tambah laporan itu, pemilihan syarikat itu disyaki melibatkan permintaan wang berjumlah ratusan ribu ringgit selain seutas jam tangan mewah sebagai “hadiah” kepada “orang atasan” untuk membantu pengambilalihan itu.

Pada 29 Disember, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil tiga saksi dan mengumpul beberapa dokumen daripada pihak berkaitan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan perjanjian membabitkan pemindahan hak milik untuk menguruskan Menara KL.

SPRM dalam satu kenyataan berkata ia akan menyiasat jika terdapat unsur rasuah dalam penjualan 100% saham syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Namun beliau enggan mengulas lanjut. – 6 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen