3 dipanggil kes pemindahan hak milik Menara KL, kata SPRM


Difahamkan TM melepaskan pegangannya ke atas anak syarikat itu kepada syarikat kurang dikenali bernama Hydroshoppe sebelum PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2022.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil tiga saksi dan mengumpul beberapa dokumen daripada pihak berkaitan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan perjanjian membabitkan pemindahan hak milik untuk menguruskan Menara KL.

SPRM dalam satu kenyataan berkata ia akan menyiasat jika terdapat unsur rasuah dalam penjualan 100% saham syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022.

The Malaysian Insight melaporkan pagi ini SPRM mula menyiasat dakwaan perjanjian pemindahan pemilikan untuk menguruskan Menara KL yang ikonik itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight tetapi enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai siasatan itu.

“Ya, SPRM sudah membuka kertas siasatan (mengenai penjualan pemilikan pengurusan Menara KL).

“Kami sudah memulakan siasatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Awal hari ini, dalam satu kenyataan, Telekom Malaysia Bhd (TM) menjelaskan MKL dimiliki oleh kerajaan Malaysia manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu diberikan di bawah konsesi.

TM, melalui anak syarikat milik penuhnya MKLSB melaksanakan konsesi itu sejak 1996.

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada program transformasi perniagaannya, TM ingin menumpukan usaha dan sumber untuk mengukuhkan perniagaan terasnya iaitu telekomunikasi dan teknologi.

Selepas perubahan dalam sifat perniagaan menara daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti, TM memutuskan pada Oktober 2021 untuk tidak memperbaharui konsesi MKL dan memaklumkan kerajaan kewajarannya.

Berikutnya pada 2022, proses pemilihan bagi pemegang konsesi baharu diambil oleh kerajaan. TM dimaklumkan mengenai syarikat yang dilantik mengambil alih saham MKLSB dan konsesi MKL.

MKLSB akan terus mengendalikan konsesi dan memastikan menara itu terus menarik pengunjung.

Pekerja akan diambil bekerja dengan MKLSB di bawah syarikat konsesi baharu selama sekurang-kurangnya tiga tahun untuk melindungi kebajikan mereka semasa peralihan ini.

Kenyataan itu juga mengatakan rujukan dibuat dalam perubahan kepada pegangan saham MKLSB dalam pengumuman kewangan suku ketiga TM kepada Bursa Malaysia. – 29 Disember, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen