PENUNJUK perasaan menutup laluan penting di Peru susulan protes ganas yang berlarutan kerana membantah penyingkiran bekas Presiden Pedro Castillo.
Kira-kira 300 pelancong terkandas di Machu Picchu selepas penunjuk perasaan meletakkan batu besar di landasan kereta api menghala ke tapak bersejarah Incan di Pergunungan Andes, menurut United Press International (UPI).
Perjalanan menggunakan kereta api merupakan kaedah pengangkutan utama ke Machu Picchu. Kerajaan mengisytiharkan darurat untuk mengaktifkan bantuan daripada tentera dan pengawal negara.
Penduduk Amerika Selatan, Amerika, Eropah dan pelancong tempatan adalah antara yang mencari jalan keluar dari Machu Picchu.
Ekoran pemecatan Castillo pada Rabu, kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Peru telah mengeluarkan nasihat perjalanan.
Empat lapangan terbang utama Peru juga menggantung perkhidmatan buat sementara waktu. Lapangan Terbang Antarabangsa Alejandro Velasco Astete di Cusco kemudiannya dibuka selepas penutupan sementara, menurut Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Peru.
“Pengembara yang terjejas dinasihatkan supaya berlindung sehingga pengangkutan selamat tersedia. Sekatan jalan raya juga menghalang lalu lintas di jalan-jalan utama di seluruh Peru,” lapor kedutaan itu.
Ekonomi Machu Picchu hanya bergantung kepada pelancongan, menurut Datuk Bandar Daerah Machupicchu Darwin Baca. Daerah itu sudah pun berhadapan masalah kekurangan makanan ekoran protes itu.
Lebih 20 orang terbunuh dalam protes itu. Dua penunjuk perasaan terbunuh pada Jumaat dalam pertempuran dengan penguatkuasa undang-undang.
Menurut laporan itu, tentera Peru menembak sekurang-kurangnya lapan orang ketika penunjuk perasaan cuba memasuki landasan lapangan terbang manakala kira-kira 70 lagi cedera
Presiden Peru Dina Boluarte menggesa Kongres meluluskan pilihan raya diadakan lebih awal bagi memadamkan kemarahan penunjuk perasaan yang antara lain mahukan petukaran semua pegawai kerajaan, termasuk Boluarte.
Boluarte bagaimanapun menolak gesaan supaya beliau meletak jawatan, namun Menteri Pendidikan Patricia Correa dan Menteri Kebudayaan Jair Perez menyiarkan surat peletakan jawatan mereka di Twitter, dengan Correa mengutuk keganasan yang berlaku di negara itu. – Bernama, 19 Disember, 2022.
Komen