Iran semak semula undang-undang wajib pakai tudung


Protes di Iran susulan kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis kerana didakwa melanggar kod pakaian mendapat liputan luas media antarabangsa. – Gambar EPA, 4 Disember, 2022.

KERAJAAN Iran akan mengkaji semula undang-undang pemakaian tudung yang mencetus protes besar-besaran susulan kematian gadis berusia 22 tahun Mahsa Amini ketika berada dalam tahanan polis kerana tidak mematuhi kod pakaian, kata peguam negara semalam.

Penunjuk perasaan membakar tudung mereka dan melaungkan slogan antikerajaan dalam protes sejak kematian Amini pada 16 September lalu. Malah semakin ramai wanita tidak mengendahkan undang-undang pemakaian hijab, terutamanya di utara Tehran, sejak kematian gadis itu.

“Parlimen dan badan kehakiman sedang berusaha sama ada undang-undang tersebut memerlukan sebarang perubahan,” kata Peguam Negara Iran Mohammad Jafar Montazeri dipetik agensi berita ISNA pada Jumaat.

Beliau  bagaimanapun tidak mempericikan perubahan tersebut.

Menurut Mohammad pasukan yang akan membuat semakan mengadakan mesyuarat dengan suruhanjaya kebudayaan Parlimen, dan akan melihat keputusannya dijangka diperolehi dalam seminggu dua minggu ini.

Sementara itu, Presiden Ebrahim Raisi semalam berkata asas-asas Islam dan republik Iran telah pun termaktub dalam perlembagaan negara itu.

“Namun ada kaedah pelaksanaan perlembagaan yang boleh diubah suai,” katanya secara langsung di televisyen.

Pemakaian hijab diwajibkan bagi semua wanita di Iran sejak April 1983, empat tahun selepas revolusi 1979 yang menggulingkan pemerintahan beraja yang disokong Amerika Syarikat.

Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) Rabu lalu berkata lebih 300 orang maut dalam tempoh lebih dua bulan ekoran protes susulan kematian  Amini. – AFP, 4 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen