PROTES yang merebak pantas di China dicetuskan oleh rakyat berikutan dasar sifar-Covid yang keras kerajaan komunis, selain turut mendedahkan kekecewaan terhadap sistem politik negara yang lebih mendalam.
Orang ramai turun ke jalan di seluruh China pada Ahad bagi menggesa kerajan hentikan penutupan, menyeru kebebasan politik dalam gelombang protes meluas yang tidak pernah terjadi sejak perhimpunan prodemokrasi pada 1989.
Kebakaran maut minggu lalu di Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang di barat laut China, mencetuskan kemarahan rakyat, dengan ramai yang menyalahkan penutupan Covid-19 kerana menghalang usaha menyelamat.
China kekal sebagai satu-satunya ekonomi utama dengan dasar sifar-Covid yang ketat. Pihak berkuasa tempatan mengekang rakyat dengan sekatan ketat walaupun kes sangat kecil, malah kerajaan juga mengadakan ujian besar-besaran dan kuarantin yang panjang.

Walaupun ramai menjangkakan dasar itu akan dilonggarkan selepas kongres lima tahun Parti Komunis bulan lepas, Beijing sebaliknya meningkatkan lagi sekatan. Ia mencetuskan kemarahan orang ramai yang kini turun ke jalan-jalan di beberapa bandar terbesar di China.
“Orang ramai kini telah capai titik kemarahan kerana tidak ada jalan jelas untuk tamatkan dasar sifar-Covid,” kata Alfred Wu Muluan, pakar politik China di Universiti Nasional Singapura (NUS), kepada AFP.
Yasheng Huang, profesor di MIT, berkata di Twitter kepimpinan tertinggi baharu parti itu terdiri daripada penyokong setia Xi Jinping yang komited terhadap dasar sifar-Covid.
“Sebelum Kongres ke-20, timbul harapan untuk perubahan dasar (sifar-Covid), tetapi barisan kepimpinan Kongres menggagalkan harapan ini sepenuhnya sekali gus memaksa rakyat ambil tindakan sendiri,” kata Huang.
Kemarahan terhadap sekatan Covid juga telah berubah menjadi seruan untuk perubahan politik yang lebih meluas, dengan beberapa penunjuk perasaan di Shanghai pada awal Ahad melaungkan “Xi Jinping, berundur! Parti Komunis China, berundur!” – AFP, 28 November, 2022.
Komen