SELEBRITI dan kumpulan hak asasi manusia menyeru Iran membebaskan pelakon Taraneh Alidoosti, salah seorang tokoh paling terkenal yang pernah ditahan dalam tindakan keras sejak tiga bulan protes.
Alidoosti, 38, ditahan pada Sabtu, kata media rasmi, selepas membuat rentetan catatan media sosial yang menyokong gerakan protes termasuk menanggalkan tudungnya dan mengutuk hukuman mati terhadap penunjuk perasaan.
Pergolakan itu dicetuskan oleh kematian dalam tahanan Mahsa Amini, 22, pada 16 September, yang didakwa polis moral melanggar etika berpakaian ketat republik Islam itu.
Iran menyalahkan Amerika Syarikat (AS) dan “musuh” lain kerana cuba menggugat kestabilan negara dengan menyemarakkan demonstrasi.
Pelakon dan tokoh terkenal Iran lain termasuk pemain bola sepak telah ditahan berhubung protes itu.
Nama Alidoosti terkenal di persada seni antarabangsa, berlakon dalam filem pemenang anugerah oleh pengarah Asghar Farhadi, termasuk filem “The Salesman”.
Beliau menghadiri Festival Filem Cannes tahun ini untuk mempromosikan filem lakonannya “Leila’s Brothers.”
Rakan pelakon Golshifteh Farahani, menggelarnya sebagai “pelakon berani Iran”, menyatakan penahanannya dalam satu kiriman di Instagram dengan gambar beliau dan Alidoosti bersama-sama berserta tanda pagar Parsi “Bebaskan Taraneh Alidoosti”.
Farahani kini tinggal dalam buangan selepas berselisih dengan pihak berkuasa. – AFP, 19 Disember, 2022.
Komen