Iran kutuk dunia senyap tentang keganasan protes


Tangkap layar video menunjukkan penunjuk perasaan Iran memulakan kebakaran di rumah keluarga pengasas republik Islam Ayatollah Ruhollah Khomeini, kini sebuah muzium, di bandar Khomein tengah Iran. – Gambar AFP, 19 November, 2022.

IRAN pada Sabtu mengkritik sikap “berdiam diri” masyarakat antarabangsa berhubung tindakan keganasan di negara itu semasa protes yang dicetuskan akibat kematian Mahsa Amini.

Republik Islam itu digemparkan dengan protes sejak kematian Amini, warga Iran berusia 22 tahun yang berasal dari Kurdish pada 16 September, kerana dakwaan melanggar peraturan pakaian Iran untuk wanita.

Ia menuduh Britain, Israel dan Amerika Syarikat sebagai pencetus pergolakan.

Pada Sabtu, kementerian luar Iran mengecam sikap membisu pihak asing yang menggalakkan kekacauan dan keganasan di Iran dalam menghadapi operasi pengganas di beberapa bandar Iran.

“Adalah menjadi kewajipan masyarakat antarabangsa dan perhimpunan antarabangsa untuk mengutuk tindakan pengganas baru-baru ini di Iran,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Rabu, 10 orang termasuk seorang wanita, dua kanak-kanak dan seorang pegawai keselamatan terbunuh dalam dua serangan berasingan di bandar Izeh dan Isfahan, menurut media kerajaan dan sumber hospital.

Dua anggota pasukan separa tentera Basij yang prokerajaan Iran ditikam hingga mati di bandar timur laut Mashhad ketika cuba campur tangan terhadap “perusuh”, menurut agensi berita IRNA. – AFP, 19 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen